Usul kecualikan kerabat diraja daripada daftar pemilih automatik lulus dengan 2/3 undi

Usul kecualikan kerabat diraja daripada daftar pemilih automatik lulus dengan 2/3 undi

Semua 181 wakil rakyat kerajaan dan pembangkang yang hadir menyokong RUU itu.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 bagi mengecualikan pendaftaran pemilih secara automatik kepada kerabat diraja diluluskan di Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 bagi mengecualikan pendaftaran pemilih secara automatik kepada kerabat diraja diluluskan di Dewan Rakyat dengan lebih 2/3 Ahli Parlimen bersetuju.

Pindaan Perlembagaan itu bagi mengecualikan nama Raja dan pasangan, Yang di-Pertua Negeri dan pasangan, bakal raja, waris ganti dan waris lain raja dan pasangan serta individu lain daripada disenaraikan secara automatik dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipersetujui semua 181 wakil rakyat kerajaan dan pembangkang yang hadir ketika pengundian.

“Oleh sebab mengikut peraturan persekutuan, RUU pindaan ini memerlukan sokongan undi tidak kurang 2/3 Ahli Parlimen, maka saya memerintah satu belah bahagian dilakukan, 2/3 undi, iaitu bermaksud tidak kurang 148 undi daripada 222 Ahli Dewan Rakyat.

“Keputusan belah bahagian seperti berikut, bersetuju 181, tidak hadir 39, tiada yang tidak bersetuju, RUU diluluskan,” kata Speaker Azhar Azizan Harun.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU itu bertujuan meminda Perlembagaan dengan menambah Perkara 119A bagi mengecualikan keluarga diraja daripada didaftarkan secara automatik dalam daftar pemilih seperti diperuntukkan dalam Perkara 119 Perlembagaan.

Katanya, cadangan pindaan itu sudah dipersetujui secara bersama antara semua kerajaan negeri, dipersetujui di peringkat Jemaah Menteri pada 4 Mac lalu dan dibentang dan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Raja-raja pada 8 hingga 12 Mac.

Beliau berkata, perkara itu juga selaras dengan keistimewaan dan kewibawaan Raja-raja Melayu dan kedudukan Yang di-Pertua Negeri seperti termaktub dalam peruntukan Perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri.

Terdahulu, ketika membahaskan RUU itu Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mempersoalkan jika ia diluluskan bermakna hak Raja dan isteri telah dicabut sebagai pemilih.

“Adakah kita meluluskan RUU ini bermakna kita bergerak ke depan dari segi demokrasi sebagai sebuah masyarakat yang progresif atau apabila kita cabut hak kesamarataan, hak memilih kepada Raja-raja ini kita sebenarnya undur ke belakang.

“Jadi saya mohon menteri jelaskan perkara ini kerana ini hak mereka, hak baginda, hak Raja-raja, ini Dewan Rakyat, bukan dewan Raja, adakah Dewan Rakyat ini nak mencari hak asasi, kebebasan Raja-raja, isteri dan sebagainya.

“Saya tak mahu lima tahun akan datang, 10 tahun akan datang, waris Raja-raja akan berarak Bersih 7, Bersih 8 untuk tuntut hak mereka sebagai pemilih yang diiktiraf perlembagaan,” katanya.

Mengulas isu yang dibangkitkan beberapa wakil rakyat termasuk Ahli Parlimen Pasir Gudang dan Bukit Gelugor mengenai hak kerabat diraja menunaikan tanggungjawab mengundi jika RUU tersebut diluluskan, Wan Junaidi berkata hak memilih tidak disekat dan mereka diberi pilihan untuk mengundi cuma pendaftaran mengundi tidak dimasukkan dalam senarai mengundi secara automatik.

“Kita tak menarik kuasa termasuk hak (memilih) oleh Raja Raja Melayu, mana-mana kerabat atau Yang di-Pertua negeri mereka boleh membuat pilihan, kalau mereka mahu dan tidak mahu masuk dalam senarai dikecualikan pendaftaran memilih automatik nanti mereka berhak membuat pilihan.

“Mereka (kerabat diraja) ada pilihan macam biasa untuk mengundi atau mendaftar memilih dikecuali atau tidak dikecualikan, semua itu masih terletak pilihan mereka sendiri,” katanya.

Jelasnya, sebaik sahaja RUU itu diluluskan, satu sesi libat urus dengan kerajaan negeri dan Majlis Raja-Raja akan diadakan sebelum perintah dibuat Agong.

Katanya, kerajaan tidak menarik apa-apa hak memilih dalam kalangan kerabat diraja, sebaliknya ia merupakan suatu yang dirundingi dengan pihak negeri serta

Majlis Raja-Raja dan dari sudut pelaksanaan, nama-nama yang diberi pengecualian akan dimasukkan dalam satu perintah yang akan mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja.

Beliau turut menjelaskan, Yang di-Pertua negeri dan pasangan yang tidak lagi berkhidmat, SPR akan memasukkan semula nama mereka sebagai pemilih sebaik sahaja pemakluman dibuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.