
“Berdasarkan data kami yang dilaporkan pada 23 Mac 2022 (semalam), seramai 19,420 petugas kesihatan tidak hadir bekerja. Daripada jumlah itu, 18,354 (94.5%) kes positif dan 1,066 (5.5%) adalah kontak rapat,” katanya dalam sidang media.
Sejak 4 Mac lalu katanya, kadar ketidakhadiran petugas kesihatan melebihi 6%.
Beliau membuat pendedahan itu ketika menjawab soalan berhubung pekeliling yang didakwa dikeluarkan Kementerian Kesihatan kepada petugas kesihatan menyatakan merkea yang disahkan positif Covid-19 mungkin perlu kembali bekerja sebelum tempoh kuarantin berakhir.
“Disebabkan itu, ramai pengarah hospital meminta timbalan ketua pengarah mengkaji semula dasar pengurusan kes positif Covid-19 sedia ada,” katanya yang mengesahkan laporan berhubung pekeliling itu.
Khairy berkata, cadangan langkah memanggil petugas kesihatan kembali bekerja itu telah dibentang dan diluluskan jawatankuasa pengurusan Covid-19 pada 15 Mac lalu.
Beliau memberi jaminan keputusan itu tidak akan menjejaskan keselamatan pesakit kerana petugas kesihatan terbabit perlu menjalani ujian saringan sebelum kembali bekerja.