Persatuan wanita gesa kerajaan pertimbang larang perkahwinan kanak-kanak

Persatuan wanita gesa kerajaan pertimbang larang perkahwinan kanak-kanak

Walaupun AWAM menghargai komitmen kementerian untuk menghentikan perkahwinan kanak-kanak, ia harus memberikan garis masa 'khusus dan realistik' untuk melaksanakan rancangan itu.

Ketika ini kerajaan tidak bercadang melarang perkahwinan bawah umur walaupun ia komited menghalang perkara itu.
PETALING JAYA:
Persatuan Tindakan Semua Wanita (AWAM) menggesa kerajaan mempertimbangkan semula pendirian untuk tidak bercadang melarang perkahwinan bawah umur kerana amalan itu mendatangkan kesan jangka panjang terhadap kanak-kanak perempuan dan lelaki.

“Semakin lama masa diambil untuk menghapuskan amalan itu, lebih ramai kanak-kanak perempuan dan lelaki akan tersisih daripada pendidikan dan peluang pekerjaan pada masa depan,” kata Pegawai Maklumat dan Komunikasi AWAM, Jernell Tan.

“Mereka juga akan terperangkap dalam kitaran kemiskinan dan terdedah kepada keganasan berasaskan jantina.”

Tan mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun bahawa kerajaan tidak bercadang melarang perkahwinan bawah umur buat masa ini walaupun ia komited menghalang perkara itu.

Rina berkata, kerajaan sedang melaksanakan pelan strategik negara dalam menangani punca perkahwinan golongan kanak-kanak.

Tan berkata, walaupun AWAM menghargai komitmen kementerian untuk menghentikan perkahwinan bawah umur, ia harus memberikan garis masa “khusus dan realistik” untuk melaksanakan rancangan itu, termasuk larangan jelas amalan itu untuk mencerminkan komitmennya.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik dan Advokasi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Anis Farid berkata, tiada sebab untuk kerajaan tidak menangani punca perkahwinan bawah umur dan meminda undang-undang untuk melarang amalan itu.

“Pelan strategik kementerian adalah penting dalam menyasarkan punca perkahwinan bawah umur dan menangani isu itu dari situ. Kita perlu mengukuhkan pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif serta sokongan sosioekonomi untuk menangani perkahwinan bawah umur.

“Namun, tanpa peruntukan undang-undang yang secara khusus melarang perkahwinan bawah umur, persepsi masih membenarkannya,” katanya kepada FMT.

Anis menggesa kerajaan mempertimbangkan semula pendiriannya terhadap larangan perkahwinan bawah umur dengan berkata, Putrajaya mempunyai kewajipan untuk melindungi mereka yang paling terdedah.

“Terdapat sokongan kuat masyarakat untuk melarang perkahwinan bawah umur. Dalam kaji selidik WAO baru-baru ini mengenai sikap dan persepsi masyarakat Malaysia terhadap keganasan wanita, perkahwinan bawah umur merupakan isu yang ditentang keras dengan lebih 70% mengatakan mereka menentang perkahwinan bawah umur dalam apa jua bentuknya.

“Selain itu, negara jiran Kemboja dan Thailand telah pun mengharamkan perkahwinan bawah umur manakala Filipina dan Indonesia menaikkan umur minimum perkahwinan. Ini menunjukkan sekarang adalah masa terbaik untuk bertindak menentang perkahwinan bawah umur,” katanya.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata, Rina perlu melaksanakan pelan tindakan lima tahun untuk menghentikan perkahwinan bawah umur secara berperingkat yang dibangunkan semasa Dr Wan Azizah Wan Ismail memimpin kementerian itu.

“Satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menilai perkembangan semasa pelan tersebut yang dirancang secara khusus untuk agensi kerajaan dan telah dilancarkan oleh Wan Azizah.

“Tetapi ia bergantung kepada kehendak kepimpinan kementerian, baik menteri mahupun timbalan. Jawapan mereka tidak menunjukkan kemahuan atau keterujaan dalam menanganinya,” katanya kepada FMT.

Yeoh berkata, jawapan Rina adalah mesej yang salah mengenai hasrat kerajaan, selain menambah bahawa perlu ada penglibatan lebih proaktif kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.