Pengurusan 1MDB tipu Najib berhubung perjanjian pelaburan, mahkamah diberitahu

Pengurusan 1MDB tipu Najib berhubung perjanjian pelaburan, mahkamah diberitahu

Ismee Ismail bersetuju bahawa beberapa anggota pengurusan telah mengelirukan bekas Perdana Menteri berhubung perjanjian pelaburan dengan PetroSaudi International Limited.

Najib Razak menghadiri perbicaraan berhubung rasuah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi, hari ini, diberitahu pihak pengurusan 1MDB telah menipu bekas Perdana Menteri Najib Razak dan lembaga pengarah syarikat (BOD) itu untuk memeterai perjanjian pelaburan dengan rakan perniagaannya, PetroSaudi International Limited (PSI).

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Ismee Ismail, 58, yang bersetuju dengan cadangan peguam utama Najib, Shafee Abdullah, juga mengakui bahawa beberapa anggota pengurusan telah mengelirukan Najib dan BOD dengan membuat cadangan terperinci untuk menandatangani perjanjian pelaburan itu.

Peguam itu kemudian mencadangkan bahawa cadangan tersebut dibuat oleh bekas Peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, bekas Ketua Pegawai Kewangan Azmi Tahir dan Casey Tang Keng Chee (bekas Pengarah Eksekutif) dan Shahrol Azral Ibrahim Halmi (bekas Ketua Pegawai Eksekutif) (CEO).

Shafee: Ini adalah 100% penipuan. Semua cadangan itu dibuat oleh pihak pengurusan 1MDB. Ia dibuat secara terperinci oleh pihak pengurusan. Ismee menjawab “ya”.

Peguam kanan itu merujuk kepada perjanjian yang 1MDB bersetuju untuk menukar 40% kepentingannya dalam syarikat usaha sama 1MDB-PetroSaudi International Limited yang dibelinya pada harga USD1 bilion, kepada pinjaman Islam kepada syarikat yang sama.

Perjanjian itu menyaksikan 1MDB bersetuju untuk menjual 40% saham kepada syarikat usaha sama itu, dengan memberikan pinjaman Islam melalui nota Murabahah kepada syarikat usaha sama tersebut pada nilai USD1.2 bilion.

Dengan penukaran kepada nota Murabahah, syarikat usaha sama itu di atas kertas akan berhutang USD1.2 bilion kepada 1MDB, dan secara berkesan berjaya memberikan 1MDB keuntungan atas kertas USD200 juta selepas mengambil kira permulaan USD1 bilion.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai penukaran kepada nota Murabahah, Shafee memberitahu mahkamah, bahawa pengurusan 1MDB melakukan pertunjukan silap mata, iaitu dana kekayaan negara akan mendapat USD1.2 bilion dalam bentuk kertas, bukan wang tunai sebenar.

Shafee: Daripada keterangan Shahrol Azral, kami mendapat tahu dia diarahkan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, kononnya ia adalah daripada Najib untuk melakukan (cadangan) ini. Ia adalah kertas kerja yang sangat terperinci yang cukup meyakinkan untuk BOD. Anda bersetuju dengan saya? Ismee menjawab “ya”.

Shafee: Dalam imaginasi anda, adakah anda fikir Najib, PM ketika itu akan terlibat dalam mengarahkan bagaimana untuk menipu 1MDB? Bolehkah anda bayangkan? Ismee menjawab “Saya tidak fikir mana-mana PM mempunyai masa untuk itu”.

Kepada soalan lain, saksi pendakwaan ke-13 itu juga bersetuju bahawa 1MDB menghadapi kesukaran semasa proses pengauditan yang dijalankan oleh firma audit iaitu Ernst & Young (E&Y) mempersoalkan mengenai USD700 juta yang dipindahkan daripada 1MDB kepada usaha sama itu.

Shafee: Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa pihak pengurusan telah mengambil masa yang lama dan tidak menjawab pertanyaan E&Y? Ismee menjawab “ya”.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa USD1 bilion 1MDB dimasukkan ke dalam usaha sama itu dan ia dibayar dalam dua peringkat iaitu USD700 juta dan USD300 juta.

Sebanyak USD300 juta disalurkan kepada syarikat usaha sama itu, manakala USD700 juta dibayar kepada Good Star Limited, sebuah syarikat milik Jho Low.

Shafee: Shahrol Azral (bekas CEO 1MDB) adalah dalangnya kerana dia bekerjasama dengan Jho Low dan dia telah mengelirukan seluruh BOD. Inilah sebabnya mengapa 1MDB menghadapi masalah hari ini. Ismee menjawab “yup”.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.