Mendiang Ewe bimbang keselamatan selepas ‘pengakuan’ dalam kes Guan Eng, kata saksi

Mendiang Ewe bimbang keselamatan selepas ‘pengakuan’ dalam kes Guan Eng, kata saksi

Penolong Penguasa SPRM, Muhammad Nazree Mansor berkata Pengarah Urusan Ewein Zenith itu bimbang berdepan implikasi buruk, jika ada pihak tahu mengenai pendedahan itu.

Lim Guan Eng di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes rasuahnya hari ini.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen di sini, hari ini diberitahu bahawa Pengarah Urusan Ewein Zenith Sdn Bhd (EZCB), Ewe Swee Kheng, menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatannya selepas membuat pendedahan berkaitan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu.

Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Nazree Mansor, 32, berkata demikian ketika membacakan rakaman percakapan Ewe yang diambilnya di pejabat SPRM Pulau Pinang pada 14 Ogos 2021.

Mendiang Ewe yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15, meninggal dunia selepas dilaporkan terjatuh di sebuah unit kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Pinang, pada 5 Okt 2021.

Nazree, yang juga saksi pendakwaan ke-15, dipanggil semula untuk memberi keterangan berkata, Ewe memaklumkan sekiranya ada pihak tahu beliau membuat pendedahan itu, beliau bimbang ia akan memberikan implikasi buruk kepadanya.

Menurut saksi itu, rakaman percakapan Ewe menyatakan: “Saya berasa sedikit bimbang dengan keselamatan saya selepas membuat pengakuan ini. Tetapi saya akan berjaga-jaga selepas ini.”

Pegawai perakam itu berkata, mendiang turut menyatakan semasa pihak SPRM memulakan penyiasatan berhubung isu projek pembinaan jalan dan terowong itu, Pakatan Harapan sedang memerintah di negara ini.

“YB LGE juga terlepas dari kes mahkamah berkaitan skandal banglo yang dihadapinya, yang mana saya (Ewe) tahu YB LGE adalah ‘untouchable’ pada masa itu,” kata saksi itu yang membacakan rakaman percakapan mendiang Ewe.

Nazree berkata, mendiang juga menyatakan beliau mendengar banyak cerita bahawa Lim ada menerima wang daripada syarikat kontraktor, dan beliau perlu menceritakan perkara sebenar kerana jika dirahsiakan hal itu, tiba masa ianya akan terbongkar dan menjejaskan perniagaannya.

Menurut saksi itu, Ewe juga menyatakan beliau tidak pernah dipaksa memberi pernyataan itu, dan apa yang diceritakan kepada SPRM adalah perkara sebenar, selain memaklumkan pertambahan pernyataan percakapan itu dibuat berkaitan perjumpaan dan pertolongan Lim kepadanya.

Rakaman percakapan mendiang diambil SPRM sebanyak enam kali, termasuk rakaman percakapan terakhir pada 14 Ogos 2021.

Selain itu, Nazree berkata, Ewe menerusi rakaman percakapannya menyatakan Lim ada berjumpa dengannya dan memaklumkan beliau sudah ada satu projek yang boleh menolongnya, iaitu projek terowong di Pulau Pinang, yang mana ia adalah projek kerajaan negeri.

“Beliau (Lim) juga beritahu saya, projek itu akan diberikan kepada syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) milik Zarul Ahmad Mohd Zulkifli. YB LGE menyuruh saya berjumpa dengan wakil CZBUCG, iaitu Zarul untuk ‘deal’, bagi penjualan tanah kepada syarikat saya (EZCB).

“YB LGE juga beritahu saya jika ‘deal’ saya dengan Zarul berjaya, saya boleh ‘control’ duit kerana syarikat itu tidak ‘power’. Saya juga ada meminta bantuan YB LGE dalam penamaan syarikat EZCB sebagai pemilik tanah Lot 702, yang telah diberikan kepada CZBUCG daripada kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Berkaitan projek lebuh raya dan terowong, saya memang berminat untuk memajukan tanah Lot 702 itu. Pada masa itu, saya mengenali Zarul melalui media yang dikenali sebagai ‘6 Billion Dollar Man’,” menurut rakaman percakapan Ewe itu.

Sementara itu, Nazree tidak bersetuju dengan cadangan peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Lim bahawa mendiang Ewe tidak memberi keterangan secara sukarela ketika rakaman percakapannya diambil pada 14 Ogos 2021, dan disebabkan itu ia bertentangan dengan keterangan lain.

Disoal peguam itu berhubung kematian Ewe sebelum saksi itu dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Lim, Nazree berkata, beliau hanya tahu mengenai kematian Ewe daripada laporan media dan tahu siasatan telah dilakukan pihak polis.

Lim berdepan tuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang di Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10% daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan dekat The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

Pengerusi DAP itu turut berdepan dua tuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di depan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.