
Timbalan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Allaudeen Abdul Majid berkata, ia membabitkan seorang lelaki Cina berusia 59 tahun yang ditahan atas dakwaan kesalahan dadah.
Katanya, lelaki itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai semalam mengikut Seksyen 12(3) dan 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dia meninggal dunia 7.30 pagi tadi.
Allaudeen dalam kenyataan berkata, Unit Siasatan Jenayah Dalam Tahanan (USJKT) di bawah JIPS akan menyiasat kematian itu.
Sebelum ini, kematian tahanan terakhir membabitkan seorang warga Indonesia yang meninggal dunia di Hospital Bintulu, Sarawak pada 6 Mac lalu.
Dia ditahan di IPD Bintulu atas kesalahan berkaitan imigresen dan dadah.
Pelbagai kumpulan, khasnya pertubuhan masyarakat sivil dan Ahli Parlimen menyuarakan kebimbangan terhadap kadar kematian dalam tahanan yang tinggi direkodkan sepanjang tahun ini.