
Hakim Kamaludin Md Said yang mengetuai panel tiga hakim menetapkan tarikh itu, selepas peguam yang mewakili pihak masing-masing dalam dua kes kewarganegaraan selesai mengemukakan hujahan.
“Kami memerlukan lebih banyak masa untuk berbincang kerana kes ini penting dan melibatkan kepentingan awam,” katanya.
Kamaludin yang bersidang bersama Azizah Nawawi dan S Nantha Balan mendengar dua kes rayuan melibatkan Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers), enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing serta satu lagi kes melibatkan seorang wanita lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia.
Bagi kes pertama, kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Sept 2021 yang mengiktiraf anak dilahirkan ibu Malaysia di luar negara itu mempunyai hak menjadi rakyat Malaysia secara automatik.
Bagi kes kedua, Mahisha Sulaiha Abdul Majeed yang dilahirkan di India oleh ibu warga Malaysia dan bapanya rakyat India, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos 2020 yang menolak samannya bagi mendapatkan pengisytiharan dia berhak mendapat kerakyatan Malaysia.
Menerusi prosiding dalam talian itu, Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin yang mewakili kerajaan dalam kes pertama berhujah anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan rakyat asing tidak boleh diberikan kewarganegaraan Malaysia secara automatik di bawah Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, satu-satunya cara untuk mereka mendapatkan kewarganegaraan adalah memohon kepada JPN untuk didaftarkan sebagai warganegara Malaysia seperti diperuntukkan di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, hakim Mahkamah Tinggi telah menulis semula Perlembagaan Persekutuan berhubung pemberian kerakyatan kepada kanak-kanak itu.
Katanya, penggunaan perkataan “bapa” dalam Seksyen 1(b) dan 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan disengajakan dan tidak menyatakan “ibu”, sambil menambah peruntukan itu tidak bersifat diskriminasi.
Seksyen itu menyatakan sesiapa dilahirkan di luar negara yang bapanya merupakan rakyat Malaysia, dianggap warganegara melalui kuat kuasa undang-undang.
Dalam keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Akhtar Tahir untuk membenarkan anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan melalui kuat kuasa undang-undang, beliau memutuskan perkataan “bapa” dalam Seksyen 1(b) mestilah dibaca termasuk ibu.
Beliau juga memutuskan Perkara 14(1)(b) bersama Seksyen 1(b) Perlembagaan Persekutuan mesti dibaca selaras Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang melarang diskriminasi berasaskan jantina.
Peguam Gurdial Singh Nijar yang mewakili Family Frontiers dan enam wanita itu berhujah, tafsiran peruntukan kewarganegaraan tidak boleh mendiskriminasi seseorang yang dilahirkan di luar negara semata-mata dia dilahirkan ibu rakyat Malaysia dan bukan kepada bapa warganegara Malaysia.
Beliau berkata, berdasarkan amalan dan tafsiran undang-undang, anak lahir di luar negara yang bapanya adalah rakyat Malaysia dan berkahwin dengan wanita asing berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia secara automatik, tetapi anak dilahirkan di luar negara kepada ibu rakyat Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kewarganegaraan secara automatik.
Gurdial Singh berhujah, tafsiran undang-undang, prosedur serta amalan yang diterima pakai itu bersifat diskriminasi serta melanggar hak Perlembagaan anak guamnya di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Dalam saman itu, ibu-ibu itu antara lain memohon mahkamah mengeluarkan perintah kepada semua agensi kerajaan berkaitan, termasuk JPN, Jabatan Imigresen dan Kedutaan Malaysia agar mengeluarkan semua dokumen membabitkan kerakyatan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada anak lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.
Mahkamah juga mendengar hujah peguam Cyrus Das mewakili Mahisha dan Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly@Arwi yang mewakili ketua pengarah JPN, menteri dalam negeri dan kerajaan Malaysia.