Saya akan balas setiap idea songsang Najib, kata Rafizi

Saya akan balas setiap idea songsang Najib, kata Rafizi

Naib Presiden PKR itu berkata demikian susulan gesaan bekas Perdana Menteri Najib Razak supaya kerajaan menyelamatkan Sapura Energy Berhad yang kini berdepan risiko muflis.

Rafizi Ramli berkata, beliau akan terus mengingatkan rakyat supaya jangan terpedaya sekali lagi dengan idea pengurusan ekonomi daripada Najib Razak.
PETALING JAYA:
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, adalah lebih baik kerajaan menggunakan dana bernilai berbilion ringgit untuk membantu rakyat daripada menyelamatkan syarikat perkhidmatan petroleum Sapura Energy Berhad.

Beliau berkata demikian susulan gesaan bekas perdana menteri, Najib Razak supaya kerajaan menyelamatkan Sapura Energy Berhad yang kini berdepan risiko muflis.

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu mengumumkan kerugian sebanyak RM8.9 bilion tahun lalu dan menurut Najib ia merupakan sebagai kerugian terbesar bagi mana-mana GLC dalam sejarah negara.

“Sekiranya gesaan Najib ini diberi perhatian, wang rakyat yang boleh digunakan untuk membina kepakaran dan kemahiran usahawan kecil, anak muda, memberi pinjaman pendidikan dan seumpamanya akan terus diperuntukkan untuk membela segelintir golongan elit.

“Semasa golongan elit ini bermewah (hasil daripada pembiayaan wang rakyat), mereka tidak pula memikirkan tanggungjawab untuk memberi pulangan pelaburan yang baik kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Najib dilaporkan menggesa kerajaan supaya memberi pinjaman atau mengarahkan Petronas atau Khazanah Nasional mengambil alih pemilikan daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang memiliki 40% saham Sapura.

Jika Sapura muflis katanya, hampir 10,000 pekerjaan bergaji tinggi akan hilang dengan kira-kira 4,500 vendor atau pembekal akan terjejas dan memberi kesan buruk kepada pelabur tempatan.

Rafizi berkata, walaupun beliau bersimpati dengan nasib kakitangan Sapura yang menghadapi masa depan tidak menentu, namun membelanjakan berbilion ringgit ke atas GLC itu ketika perniagaan dan pekerja di seluruh negara turut berdepan masa sukar adalah tidak adil.

Katanya, ini lebih-lebih lagi berbilion ringgit telah disuntik ke dalam Sapura lebih sedekad lalu, tetapi syarikat itu terus mengalami masalah kewangan ketika harga minyak mentah di paras tinggi, berbeza dengan syarikat minyak lain yang mendapat durian runtuh apabila harga minyak mentah dunia naik.

“Saya akan terus memantau isu ini dan membentangkan angka pada hari-hari seterusnya untuk mengingatkan rakyat supaya jangan terpedaya sekali lagi dengan idea pengurusan ekonomi daripada Najib.

“Sekembalinya saya ke arena politik, setiap idea songsang Najib akan menerima respons balas daripada saya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.