
Bekas timbalan presiden PKR yang lantang tu mencapai kemenangan tipis apabila 42 ahli cabang mengundi untuk menolak usul memecat atau menggantung Rafizi sebagai ketua, hanya lebih lapan undi daripada 34 yang menyokong usul itu.
Ahli Parlimen dua penggal itu bagaimanapun tidak menghadiri mesyuarat tersebut, menurut sumber.
FMT telah menghubungi Rafizi untuk mendapatkan komen.
Ketika dihubungi, Timbalan Ketua Pemuda PKR Pandan Haqimi Zamri berkata, usul itu dibentangkan oleh ahli-ahli yang mahu merampas cabang tersebut daripada Rafizi.
Bagaimanapun, katanya, majoriti akar umbi PKR Pandan kekal setia menyokong Rafizi.
Tambahnya, ketidakhadiran Rafizi pada AGM tersebut bukanlah suatu isu kerana beliau telahpun memaklumkan perkara itu kepada pihak cabang, namun masih menghormati mesyuarat tersebut.
“Mungkin nampak kecil tapi hakikatnya pihak yang menyokong Rafizi tidak ‘mobilise’ penuh. Jadi ia satu kemenangan yang bermakna (buat Rafizi),” katanya.
Pada pemilihan cabang tahun lepas, Rafizi mengekalkan jawatan ketua untuk penggal ketiga berturut-turut dengan meraih 883 undi, hampir dua kali ganda berbanding 444 undi yang diperoleh pencabar tunggalnya, Shahrom Musa.
Rafizi lantang mengkritik kerajaan dan PKR secara terbuka selepas tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR dan meletak jawatan sebagai menteri ekonomi pada Mei tahun lepas.
Pada Februari lepas, PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Rafizi kerana menyatakan pendirian untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pandan pada PRU akan datang, namun mungkin bukan sebagai calon PKR.
Rafizi terus berteka-teki mengenai rancangannya selepas Parlimen dibubarkan, tetapi kerap memberi bayangan akan meninggalkan PKR.
Beliau bagaimanapun pernah menegaskan tidak akan menubuhkan parti baharu atau menyertai ‘kuasa ketiga’.
Difahamkan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Rafizi ini merupakan punca usul tersebut dibentangkan terhadap beliau.