Kit Siang dikompaun kerana berpeluk, harap ‘Bossku’ bayar denda PRN Johor, kata KJ

Kit Siang dikompaun kerana berpeluk, harap ‘Bossku’ bayar denda PRN Johor, kata KJ

KKM juga berharap bekas PM itu menerima empat lagi notis kompaun yang enggan diterima oleh pegawainya, kata Menteri Kesihatan itu.

Lim Kit Siang dikelilingi rakan parti selepas mengumumkan persaraannya daripada arena politik pada Ahad.
PETALING JAYA:
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa kompaun telah dikeluarkan kepada veteran DAP Lim Kit Siang, selain mengingatkan Najib Razak supaya menyelesaikan denda yang dikenakan terhadapnya semasa pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Dalam ciapan di Twitter, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut berharap bekas Perdana Menteri itu akan menerima empat lagi notis kompaun yang enggan diterima oleh pegawainya.

“Kompaun sudah dikeluarkan kepada @limkitsiang. KKM juga harap @NajibRazak bayar satu kompaun yang dikeluarkan semasa PRN Johor yang masih belum ‘settle’.

Tonton video di sini.

“KKM juga harap @NajibRazak menerima 4 lagi kompaun yang dihantar melalui pos daftar yang pegawai DS enggan terima sebelum ini,” kata Khairy.

Ini susulan soalan Najib mengapa Lim tidak didenda oleh KKM kerana berpelukan dengan ahli parti selepas mengumumkan persaraannya daripada arena politik pada Kongres DAP hujung minggu lepas.

Dalam responsnya di Facebook hari ini, Najib berkata, beliau akan membayar semua lima kompaun yang dikenakan, namun mempersoalkan mengapa hanya Lim yang dikenakan kompaun.

“Kit Siang seorang je yang kena kompaun? Itupun satu kompaun berjumlah RM1,000 yang dikeluarkan semalam,” katanya.

“Tapi yang berpeluk itu adalah berpuluh orang?”

Dilaporkan bahawa Lim dan Presiden PKR Anwar Ibrahim, yang menghadiri Kongres DAP, disahkan positif Covid-19 semalam.

Terdahulu, di samping mendoakan agar Lim cepat sembuh, Najib menyelar veteran DAP itu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, Ahli Parlimen DAP yang memeluk Lim di kongres itu sepatutnya menjalani kuarantin kendiri dan tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat.

“Lebih elok juga Ahli-Ahli Parlimen DAP yang berpeluk dengan Kit Siang semalam kuarantin kendiri dan jangan datang Parlimen.

“Silap-silap seluruh Dewan dijangkit mereka,” katanya.

Beliau juga bertanya sama ada notis kompaun akan dikeluarkan terhadap ahli-ahli DAP lain.

“Kenapa pula artis AJL (Anugerah Juara Lagu) boleh disaman berpeluk tapi KKM tak saman DAP?”

“Saya tak berniat jahat tapi geng inilah yang paling seronok tuduh saya langgar SOP sehingga KJ saman saya banyak kali,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.