Jika sanggup bayar Perak untuk air, P Pinang boleh bayar Kedah, kata ADUN PAS

Jika sanggup bayar Perak untuk air, P Pinang boleh bayar Kedah, kata ADUN PAS

ADUN Tanjung Dawai, Hanif Ghazali berkata, Pulau Pinang juga enggan membantu Kedah dengan masalah kekurangan air, walaupun mendapat bekalan air dari Sungai Muda.

Pulau Pinang mengambil 80% sumber airnya dari Sungai Muda yang mengalir dari Kedah ke wilayah negeri itu di Seberang Perai. (Gambar Facebook)
ALOR SETAR:
Kerajaan Pulau Pinang dikritik kerana sanggup membayar Perak untuk mendapatkan air mentah dari sungai negeri itu, namun enggan membayar satu sen pun kepada Kedah dalam situasi sama.

Hanif Ghazali (PAS-Tanjung Dawai) berkata, Pulau Pinang juga enggan membantu Kedah dengan masalah kekurangan air, walaupun mendapat bekalan dari Sungai Muda yang mengalir dari Kedah ke wilayah negeri itu di Seberang Perai.

Pulau Pinang ketika ini mengambil 80% sumber airnya dari Sungai Muda.

Kedah menuntut Pulau Pinang membayarnya memandangkan sungai itu mengalir dari negeri berkenaan.

Hanif Ghazali.

Kerajaan Pulau Pinang telah lama mempertikaikan tuntutan itu dan berkata ia mengambil air dari sungai dalam bahagiannya.

Baru-baru ini, Perak menolak tawaran Pulau Pinang untuk membeli air mentah menerusi saluran paip dari Sungai Perak, dengan kerajaan negeri itu memberi alasan memerlukan semua bekalan airnya bagi menampung keperluan semasa dan masa depan.

“Kalau mereka sanggup nak beli air dari Perak, sepatutnya mereka jaga apa yang dimiliki sekarang. Pulau Pinang mempunyai simpanan air terbesar dalam negara, iaitu 30% berbanding Kedah 2.3%.

“Pulau Pinang mempunyai begitu banyak simpanan air, tapi mereka tak merasai kesukaran Kedah dan tidak pernah menawarkan untuk membantu menjamin bekalan air pada masa depan,” katanya ketika membahas usul Titah Sultan Kedah di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Hanif berkata, Pulau Pinang wajar membayar RM50 juta setahun kerana mengambil air dari Sungai Muda dan RM100 juta royalti pajakan negeri itu dari Kedah.

Beliau berkata, Sultan Kedah sudah membentangkan bukti dalam mesyuarat Majlis Raja-raja bahawa Pulau Pinang dipajak dari Kedah. Bagaimanapun, Hanif tidak mengulas lanjut perkara itu.

“Sultan Kedah dalam mesyuarat Majlis Raja-raja menyerahkan bukti dokumen kepada kerajaan persekutuan bahawa Pulau Pinang milik Kedah. Jadi wajar Kedah dibayar nilai yang sepatutnya.”

Azam Abd Samad (PAS-Sungai Limau) ketika mencelah menyarankan kerajaan Kedah memberi kata dua kepada Pulau Pinang untuk membayar dalam tempoh ditetapkan atau berdepan tuntutan caj air mentah dan royalti pajakan lebih tinggi.

Hanif bersetuju dengan berkata: “Saya setuju. Kita buat baik lama dah, tapi tidak dihargai, kita korban tenaga, bantu mereka (Pulau Pinang) dapat pelaburan banyak, tapi apa yang mereka bagi pada Kedah?”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.