
Kumpulan itu mendapati peruntukan dalam enakmen berkenaan bukan saja bertindih dengan undang-undang persekutuan, malah menceroboh perkara bawah persekutuan dan melanggar hak asas yang dipelihara dalam perlembagaan persekutuan.
“Kami mendapati 25 daripada 48 peruntukan itu bertindih dengan undang-undang persekutuan sedia ada seperti Kanun Keseksaan dan 31 peruntukan menceroboh kuasa kerajaan persekutuan seperti perkara berkaitan keselamatan dalam negeri dan kewangan,” kata wakil Justice for Sisters (JFS) Thilaga Sulathireh, dalam satu forum, hari ini.
“Sebanyak 28 daripada 48 peruntukan dalam enakmen berkenaan melanggar Perkara 5 hingga 13 perlembagaan persekutuan yang menjanjikan kebebasan asas.”
Thilaga berkata, ketidakselarasan antara enakmen terbabit dan undang-undang persekutuan adalah bertentangan dengan peraturan perundangan dan mencetuskan penyalahgunaan kuasa.
“Ini akan menggalakkan salah guna kuasa susulan pengasingan kuasa yang tidak jelas antara negeri dan kerajaan persekutuan yang mengakibatkan budaya bebas daripada hukuman. Ini menyanggahi peraturan perundangan dan juga meningkatkan perbelanjaan kerajaan.”
Beliau juga mempersoalkan sama ada kos pelaksanaan berkenaan sudah dipertimbangkan memandangkan kerajaan negeri berdepan kekangan dana, selain ia adalah antara negeri berdepan masalah jumlah banduan tidak dihukum yang tertinggi.
Forum itu diadakan sempena pelancaran laporan oleh JFS, Sisters in Islam (SIS) dan inisiatif “Legal Dignity”, untuk mengkaji kesan enakmen syariah terhadap hak asasi manusia dan rangka kerja perlembagaan.
Kumpulan itu juga mempersoalkan sama ada enakmen terbabit mengambil kira kepentingan awam dan bukti dan sama ada diadakan libat urus membabitkan mana-mana orang awam.
Pensyarah kanan undang-undang Haezreena Begum dari Universiti Malaya, juga mempersoalkan sasaran pelaksanaan enakmen terbabit.
“Apa sebenarnya objektif enakmen itu – adakah untuk melahirkan komuniti ideal atau komuniti Islamik dan sekiranya ia merujuk kepada sasaran kedua, berdasarkan kaca mata siapa?” soalnya.
Idris Ahmad daripada SIS berkata, semangat dalam enakmen bersifat menghukum.
Kumpulan itu menggesa kerajaan negeri menangguhkan penguatkuasaan enakmen terbabit dan menilai semula dan melakukan libat urus dengan masyarakat awam untuk menangani perkara berkaitan.
Mereka juga mendesak institusi hak asasi manusia seperti SUHAKAM supaya menilai semula enakmen berkenaan kerana ia tidak selaras dengan undang-undang hak asasi manusia.
Enakmen terbabit diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan dikuatkuasakan pada 1 Nov 2021. Enakmen itu memperluaskan akta yang dianggap jenayah mengikut undang-undang syariah, dengan menambah 33 seksyen baharu, berbanding pendahulunya pada 1986, menjadikan keseluruhan 68 seksyen.