
Beliau berkata, sebaliknya kerajaan seharusnya mendahulukan pindaan perlembagaan berkait dengan Akta Anti Lompat Parti.
“Akan ada pindaan perlembagaan, iaitu kelayakan pemilih yang khusus untuk memasukkan pindaan yang berkait tentang kelayakan pemilih tidak terpakai kepada Raja-raja dan Yang di-Pertua Negeri (YDPN) serta kaum kerabat mereka.
“Saya tak nampak rasional pindaan perlembagaan esok. Yang diminta kita satu Akta Anti Lompat Parti yang tentu kait dengan pindaan perlembagaan,” katanya di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Shamsul berkata, sekiranya pindaan perlembagaan itu mahu dibuat, adalah lebih baik ia disekalikan dengan Akta Anti Lompat Parti dan had tempoh menjadi perdana menteri.
“Biarlah ada dimasukkan perkara kita minta yang menjadi asas kepada persefahaman antara barisan pembangkang dan kerajaan.
“Justeru, saya ingin cadangkan kepada Ahli-ahli Parlimen terutama di sini barisan pembangkang supaya jangan berikan sokongan kepada pindaan ini kerana percaya pindaan ini bukan satu pindaan yang menuntut untuk disegerakan,” katanya.
Esok kerajaan akan membentangkan RUU untuk meminda perlembagaan persekutuan yang mempunyai kaitan dengan kelayakan keluarga Diraja sebagai pengundi.
Pindaan itu bertujuan mengecualikan Perkara 119 kepada Raja-raja dan kerabat terdekat baginda, melalui perintah yang disiarkan dalam warta.
Pada 2019, Perkara 119 telah dipinda untuk mengurangkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.