
Ketika membahas usul Titah Sultan Kedah di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, Tan Kok Yew (PH-Derga) berkata, cadangan untuk mengeksport ketum ke Thailand itu menghairankan kerana dikatakan dapat membanteras aktiviti penyeludupan tanaman itu di sempadan negara.
“Apa yang menghairankan saya, kenapa YAB boleh menggunakan kaedah ini untuk membendung dan membanteras penyeludupan daun ketum, tetapi dalam isu lain, YAB gunakan pendekatan lain?
“Dalam isu judi di Kedah, YAB menghentikan lesen judi atas alasan judi bukan sesuatu yang baik dan untuk mengawal rakyat daripada budaya judi, sedangkan asalnya semua premis judi di negeri ini berlesen. Sekarang berlambak judi tak berlesen kerana judi berlesen dihentikan. Tahniah YAB,” kata Tan secara sinis.
“Saya mohon penjelasan YAB, jika dibenarkan atas peraturan khusus seperti yang YAB cadangkan untuk eksport daun ketum, apakah jaminan tiada salah guna daun ketum dalam kalangan masyarakat? Apakah jaminan penyeludupan boleh dibanteras?”
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP itu turut menyindir Sanusi berhubung penerokaan unsur nadir bumi (REE) bagi meningkatkan ekonomi negeri itu.
“Dua tahun lalu, menteri besar umum kerajaan meluluskan permit meneroka mineral baharu, REE di Sik yang dianggarkan bernilai RM62 bilion. Berapa keuntungan kerajaan negeri sudah dapat daripadanya?
“Ada beza geliga dengan keloloh. Walaupun YAB bukan daripada parti kami, tapi YAB adalah menteri besar kami. Jangan bagi malu negeri dengan kelakuan YAB.”
Ahad lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 2.2 tan daun ketum dianggarkan bernilai RM396,000 di tepi muara Kuala Sala, Kedah, yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran melalui jalan laut.
Pada 17 Mac lalu, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, kementeriannya tidak akan membenarkan Kedah mengeksport ketum secara sah ke Thailand.
Pada 14 Nov lalu, Sanusi mengumumkan kerajaan Kedah akan mengharamkan semua kedai nombor ekor daripada terus beroperasi dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka kerana aktiviti perjudian menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan tamadun, selain masalah hutang.