
Katanya, RUU itu perlu diluluskan bagi mengelakkan sistem demokrasi negara terus tercemar dengan tindakan wakil rakyat melompat parti.
“Akta ini memang perlu dilaksanakan, jadi tidak perlu tunggu, kalau tidak dibentang, maka tarik sokongan.
“Kita kena lihat bagaimana perincian akta ini agar RUU berkenaan diluluskan kerana jika tidak diluluskan, ia cemarkan sistem demokrasi yang ada. Mandat rakyat yang diberikan kepada seseorang itu tidak harus dikhianati dengan lompat sana sini.
“Itu antara perkara yang perlu diatasi pemimpin dengan membawa RUU ini ke Dewan Rakyat untuk diluluskan, jangan tunggu dan main ugut,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Warisan, di sini.
Shafie berkata, pindaan RUU antilompat parti juga perlu diperincikan sebelum diluluskan, termasuk tindakan terhadap kumpulan atau parti yang meninggalkan sesebuah gabungan seperti Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, perincian jelas adalah perlu bagi memastikan individu yang melompat parti tidak dibenarkan bertanding semula.
“Bagi saya, jangan galakkan orang sebegini bertanding semula. Contohnya jika pengedar dadah boleh digantung seumur hidup, maka pengajaran sebegitu juga perlu bagi ahli politik.
“Lain cerita kalau mereka berkumpulan keluar daripada gabungan. Banyak perkara perlu diperincikan tentang perkara ini.”
Semalam, bekas setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng mengingatkan kerajaan bahawa memorandum persefahaman (MoU) antara pembangkang dan Putrajaya akan terbatal jika RUU antilompat parti tidak dibentang di Parlimen.