Mayat wanita tanpa identiti ditemui tertiarap dalam gaung

Mayat wanita tanpa identiti ditemui tertiarap dalam gaung

Laporan penemuan mayat itu diterima polis kira-kira jam 11.15 pagi oleh anggota Pejabat Jabatan Perhutanan Ulu Bendul, Kuala Pilah.

Polis berkata, mangsa berketinggian 1.39 meter, bertubuh kecil, berpakaian seluar trek dan kemeja T hitam selain tidak memakai barang kemas serta mempunyai kuku pendek tidak diwarnakan. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Mayat wanita tanpa identiti ditemui dalam keadaan tertiarap di kawasan gaung di Kilometer 14 Jalan Lama Bukit Putus, Paroi, Seremban pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban Nanda Maarof, laporan penemuan mayat itu diterima kira-kira jam 11.15 pagi oleh kakitangan pejabat Jabatan Perhutanan Ulu Bendul, Kuala Pilah.

Katanya, anggota terbabit menerima maklumat daripada seorang lelaki berusia sekitar 50an yang menemui mayat terbabit ketika sedang berjoging dan sempat mengambil gambar lokasi.

“Anggota itu bersama seorang rakan mengikut lelaki tersebut ke lokasi yang dinyatakan dan mendapati satu mayat tertiarap dalam gaung di bawah jambatan. Lokasi kejadian adalah jauh dari kawasan perumahan dan sunyi.

“Polis kemudiannya bersama pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan (IPKNS) serta Unit K9 IPKNS dikerahkan ke lokasi kejadian. Unit K9 cuba mengesan bahan bukti tetapi tidak menjumpai sebarang kesan yang boleh membantu siasatan,” menurutnya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Menurut Nanda, berdasarkan siasatan awal forensik, punca kematian dan unsur jenayah masih tidak dipastikan setakat ini sehingga bedah siasat dilakukan oleh Jabatan Patologi Hospital Tuanku Ja’afar.

Menurutnya, mangsa disyaki sudah lama meninggal dunia dan keadaan mayat yang dikerumuni ulat turut menyukarkan polis mendapatkan petunjuk bagi tujuan pengecaman dan mengenal pasti identiti mangsa.

Katanya, mangsa berketinggian 1.39 meter, bertubuh kecil, berpakaian seluar trek dan kemeja T hitam selain tidak memakai barang kemas serta mempunyai kuku pendek tidak diwarnakan.

“Mereka yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil membuat laporan bagi membantu siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.