
Hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang mencadangkan penyelesaian di luar mahkamah bulan lalu menetapkan satu lagi tarikh pengurusan kes pada 26 Mei.
Christopher Leong, salah seorang peguam yang mewakili 28 bekas hakim dan tujuh balu bekas hakim berkata, Peguam Persekutuan M Kogilambigai meminta diberikan lebih masa untuk meneliti cadangan itu.
“Kita tidak mempunyai masalah untuk kerajaan meminta diberikan lebih masa. Apa yang kita mahu ialah urusan anak guam kami diselesaikan sama ada menerusi proses mahkamah atau mediasi,” katanya kepada FMT.
Peguam Abdullah Abdul Rahman dan Derrick Moh yang turut mewakili plaintif memfailkan saman awal tahun ini supaya mahkamah mengisytiharkan pencen mereka diselaraskan secara tahunan berdasarkan gaji semasa hakim yang sedang berkhidmat.
Masalah timbul apabila kerajaan menyemak semula gaji pada 2015 untuk hakim dengan menyediakan pencen lebih tinggi bersama kenaikan tahunan 2% untuk mereka yang bersara selepas pindaan itu.
Bagaimanapun, mereka yang bersara sebelum 2015 terus menerima pencen berdasarkan gaji lama bersama kenaikan tahunan 2%.
Plaintif mahu mahkamah mengisytiharkan bahawa pindaan itu melanggar peruntukan perlembagaan bahawa imbuhan hakim dan terma jawatan lain, termasuk hak pencen, tidak boleh diubah sehingga menjadi kurang baik.
Menurut mereka, penyelesaian menerusi undang-undang perlu dilakukan kerana kerajaan enggan melayan notis tuntutan mereka yang dihantar pada September tahun lalu.