
Ketua Pengarahnya, Hakimah Mohd Yusoff berkata, sebarang bentuk program seumpama ini jelas bertentangan norma masyarakat dan hukum syarak.
Katanya, drama sebegini tidak wajar disiarkan pada bila-bila masa, apatah lagi pada bulan mulia ketika umat Islam melaksanakan ibadat berpuasa.
Oleh itu,beliau berkata, JAKIM sudah menyatakan pendirian dan pandangannya kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia supaya tindakan tegas dapat diambil segera.

“JAKIM menggesa semua pihak, sama ada stesen penyiaran, penerbit, penulis skrip dan pelakon agar lebih cakna dan mengelakkan isu-isu seumpama ini.
“Ini kerana ia akan menyerapkan ke dalam jiwa masyarakat, khususnya golongan remaja dengan budaya dan norma bersalahan ajaran Islam dan amalan murni masyarakat Malaysia,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Hakimah berkata, JAKIM tidak berkompromi dengan isu seumpama ini dan sentiasa bersama semua pihak berkuasa berkaitan bagi memantau serta mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan ia berulang.
Sebelum ini, tular sedutan drama itu yang memaparkan aksi lakonan yang dianggap “tidak senonoh” sehingga mendapat bantahan pelbagai pihak.
Sementara itu, pelakon drama berkenaan, Zul Ariffin memohon maaf kerana memuat naik klip pendek babak panas drama lakonannya di Instagramnya baru-baru ini.
“Dengan hati terbuka, saya ambil maklum di atas semua maklum balas daripada banyak pihak berkenaan klip video yang dipaparkan sebelum ini.
“Saya mohon maaf kepada semua yang terkesan daripada tindakan memuat naik video berkenaan,” tulisnya di Instagramnya hari ini.
Beliau berjanji akan lebih meneliti dan berhati-hati dalam memuat naik sebarang bahan yang diberikan kepadanya untuk dipromosikan di media sosial.