Dituduh curi RM4, kanak-kanak 11 tahun maut disyaki dibelasah

Dituduh curi RM4, kanak-kanak 11 tahun maut disyaki dibelasah

Polis berkata, selain dituduh mencuri, suspek juga juga dikatakan tidak berpuas hati dengan sikap mangsa tidak mengambil serius tegurannya.

Polis berkata, tindakan suspek yang dipercayai menyepak, mencekik dan menghempas mangsa ke lantai, terbongkar selepas kejadian itu disaksikan tujuh penghuni asrama lain.
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun meninggal dunia dipercayai akibat dibelasah rakannya dalam kejadian di sebuah asrama rumah anak yatim dan miskin di Kuantan, Pahang, semalam.

Menurut laporan Sinar Harian, mangsa dipercayai disepak, dicekik dan dihempas ke lantai oleh suspek berusia 16 tahun sehingga tidak sedarkan diri, ketika berada di bangunan surau asrama itu antara 3.45 hingga 4.15 petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata mangsa disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Katanya, kejadian itu disedari penyelia asrama yang juga pengadu berusia 35 tahun, selepas mangsa yang dalam keadaan tidak sedarkan diri, dibawa tiga penghuni lain, termasuk suspek, menemuinya kira-kira 4.15 petang.

“Ketika itu, mangsa masih bernyawa dan awalnya disyaki diserang sawan, lalu pengadu bersama seorang lagi penyelia asrama segera membawanya ke HTAA untuk mendapatkan rawatan.

“Sejurus tiba di hospital, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas,” katanya sambil menambah pengadu kemudian membuat laporan polis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku ketika mangsa bersama tujuh rakan, termasuk suspek yang dilantik sebagai ketua, ditugaskan untuk gotong-royong membersihkan surau.

“Ketika berada di surau itu, suspek dipercayai mencekik dan menghempas mangsa ke lantai hingga tidak sedarkan diri. Kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang didakwa mengambil wangnya berjumlah RM4.”

Katanya, suspek juga dikatakan tidak puas hati dengan sikap mangsa tidak mengambil serius tegurannya.

“Tindakan suspek terbongkar selepas kejadian itu disaksikan tujuh penghuni asrama lain. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HTAA untuk proses bedah siasat.”

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari hingga 27 Mac ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.