Pengamal media sambilan disaran carum PERKESO

Pengamal media sambilan disaran carum PERKESO

Caruman bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri itu melayakkan mereka menerima pelbagai manfaat antaranya faedah perubatan, hilang upaya sementara dan hilang upaya kekal.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim, berkata SKSPS membolehkan wartawan sambilan dilindungi bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
ALOR SETAR:
Pengamal media khususnya yang berstatus sambilan di negara ini disaran mendaftar dan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mendapatkan manfaat perlindungan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim, berkata caruman bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) itu akan melayakkan mereka menerima pelbagai manfaat antaranya faedah perubatan, hilang upaya sementara dan faedah hilang upaya kekal.

“SKSPS ini bermatlamat memberi perlindungan kepada orang berinsurans bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan pekerjaan. Ini bagi membolehkan wartawan sambilan dilindungi di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

“Menerusi Bajet 2022 Keluarga Malaysia, SKSPS menyediakan bantuan menerusi SPS Padanan Caruman yang menyaksikan kerajaan menyediakan bantuan padanan caruman sebanyak 80% iaitu RM186.20 ditanggung oleh kerajaan dan hanya 20% iaitu RM46.60 perlu dibayar oleh orang bekerja sendiri,” katanya pada program PERKESO bersama pengamal media utara di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Romani Wan Salin serta Pengarah PERKESO Kedah, Mohamad Haron Othman.

Awang juga berkata, program hari ini bertujuan membantu pengamal media sambilan di Kedah dan Perlis untuk dilindungi bawah SPS Padanan Caruman bagi kumpulan sasaran SPS Seni.

“Kerajaan bayar 80% dan wartawan perlu bayar 20%. Tetapi untuk hari ini, saya akan menaja bayaran 20% caruman bagi pihak pekerja untuk setiap wartawan sambilan yang hadir pada program ini.

“Saya minta semua wartawan carumlah kerana jumlah bayaran tidak banyak tetapi manfaatnya sangat besar kepada diri sendiri serta waris sekiranya berlaku kemalangan semasa menjalankan kerja,” katanya.

Beliau berkata, PERKESO akan terus menjalankan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran golongan bekerja sendiri untuk mencarum di bawah inisiatif SKSPS agar jaringan dan perlindungan keselamatan sosial mereka lebih terjamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.