
Pakar Perunding Pembedahan Kanak-kanak HTA Dr Zakaria Zahari berkata, pembedahan seumpama itu kebiasaannya dilakukan pada usia 3 hingga 6 bulan, namun disebabkan komplikasi, pasangan itu terpaksa menjalani pembedahan segera pada umur 17 hari.
“Bayi kembar lelaki ini dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada usia 33 minggu kandungan, dan dirujuk oleh Pakar Neonatologi HRPB, Dr R Maneet Kaur untuk rawatan lanjut di HTA.
“Selepas perbincangan di antara doktor-doktor pakar HRPB dan HTA secara atas talian pada 15 Mac jam 2 petang, keputusan untuk melakukan pembedahan berisiko tinggi itu telah disepakati,” katanya berdasarkan kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat HTA.
Berdasarkan kenyataan, Dr Zakaria disertai enam lagi pakar bedah kanak-kanak dari seluruh Malaysia dan pasukan bius kanak-kanak yang diketuai oleh Dr Intan Zarina Fakir Mohamed dan Dr Ruwaida Isa dengan hampir 20 jururawat dan staf dewan bedah kanak-kanak.
“Pasangan kembar ini berjaya dipisahkan dalam masa 66 minit tanpa komplikasi ‘major’. Kembar siam jenis ‘Omphalophagus’ ini didapati berkongsi bahagian hati dan organ-organ lain didapati normal,” tambah kenyataan itu.