Tempah janji temu dos penggalak melalui MySejahtera mulai 21 Mac

Tempah janji temu dos penggalak melalui MySejahtera mulai 21 Mac

Aplikasi itu menyediakan pilihan tarikh, masa dan pusat vaksinasi.

Tempahan untuk dos penggalak boleh dibuat melalui ‘Booking Management System’ di aplikasi MySejahtera mulai Isnin depan.
KUALA LUMPUR:
Orang ramai kini boleh membuat janji temu untuk dos penggalak melalui “Booking Management System” di aplikasi MySejahtera untuk tempahan slot bermula 21 Mac ini di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, Dr Anas Alam Faizli, berkata tempahan melalui aplikasi itu adalah inisiatif kerajaan, selain janji temu yang ditetapkan aplikasi MySejahtera.

Ia bertujuan meluaskan lagi liputan dan mempercepatkan vaksinasi dos penggalak dalam kalangan rakyat Malaysia sebelum status vaksinasi penuh ditarik balik daripada penerima vaksin primer lengkap (dos 1 dan dos 2) bagi yang tidak mendapatkan dos penggalak selewat-lewatnya 31 Mac ini.

“Tujuan kemudahan ini untuk memupuk kesedaran masyarakat dan tanggungjawab individu terhadap pematuhan SOP dan meluaskan akses kepada program vaksinasi sedia ada, terutamanya warga emas bagi memastikan fasa peralihan kepada endemik yang akan bermula 1 April dapat dilaksanakan dengan selamat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, warga emas yang tidak divaksinasi atau tidak diberi suntikan dos penggalak dengan komorbiditi mempunyai risiko kematian lebih tinggi, jika mereka dijangkiti Covid-19.

“Memandangkan Ramadan semakin hampir, dinasihatkan golongan ini segera mendapatkan dos penggalak secepat mungkin. Mari lindungi keluarga kita. Sama-sama kita tingkatkan tahap perlindungan kita sebelum memasuki fasa peralihan kepada endemik.”

Orang ramai boleh merujuk www.protecthealth.com.my untuk melihat senarai PPV pilihan yang berdaftar di bawah ProtectHealth sebagai senarai rujukan di “Find Vaccination Centre (PPV)”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.