
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) Dr Jamalludin Ab Rahman berkata walaupun kadar jangkitan semasa kekal rendah berbanding pada awal penularan sekitar 2020, corak itu selari dengan trend bermusim yang dikesan di rantau Asia.
Justeru, beliau menggesa orang ramai tidak mengambil mudah sebarang jangkitan, termasuk Covid-19, dengan mengamalkan langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka apabila bergejala.

“Walaupun fasa wabak telah berlalu, amalan asas seperti memakai pelitup muka apabila bergejala, menjaga kebersihan tangan dan mengelakkan tempat sesak jika tidak sihat masih relevan dan wajar diamalkan.
“Kesedaran dan tanggungjawab kendiri penting untuk memastikan penularan dapat dikawal tanpa mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas laporan Covid-19 pada minggu epidemiologi ke-24 (ME 24/2025) yang merekodkan satu kematian membabitkan pesakit jantung dan diabetes yang tidak mengambil suntikan dos penggalak vaksin kedua.
Menurut KKM, 57 kes kematian akibat virus itu direkodkan tahun lepas, dengan kematian terakhir berlaku pada 26 Mei 2024.
Pada ME 24/2025, sebanyak 21,738 kes Covid-19 dilaporkan secara kumulatif, dengan purata mingguan kekal sekitar 900 kes.
Mengenai keperluan mewajibkan individu mengambil dos penggalak, Jamalludin berkata, kerajaan perlu mengutamakan kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan pesakit kronik kerana kelompok ini memerlukan perlindungan tambahan.
“Kita juga perlu memastikan vaksin yang digunakan bersesuaian dengan varian virus yang beredar, seperti mana vaksin influenza disesuaikan dengan virus dominan setiap tahun.
“Saya yakin KKM sedang memantau perkembangan varian semasa dan akan mengeluarkan panduan berkaitan vaksin yang lebih sesuai apabila diperlukan,” katanya.

Sementara itu, pakar kesihatan awam Dr Zainal Ariffin Omar berkata, tiada keperluan kerajaan menyaring individu atau menyekat pergerakan mereka yang tidak mengambil dos penggalak.
Beliau sebaliknya mencadangkan agar kerajaan lebih agresif mengadakan kempen pendidikan mengenai wabak itu.
“Tak perlu (saring dan wajibkan dos penggalak), ia pilihan … pada masa sama, kerajaan perlu terus beri nasihat dan akses kepada vaksin,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai terus mengamalkan penjagaan kendiri seperti ketika Covid-19 menular sebelum ini.
“Dapatkan rawatan walaupun demam dan selesema biasa. Klinik boleh buat ujian jika perlu,” katanya.