
PETALING JAYA: Seorang pekerja restoran warga asing di Subang Jaya ditampar pelanggan hanya kerana tidak dapat memutarkan lagu yang diminta.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Abd Khalid Othman berkata, dalam kejadian kira-kira 10.30 malam pada 13 Mac lalu itu, suspek meminta mangsa menukar lagu yang dipasang di premis tersebut.
Bagaimanapun mangsa memaklumkan tidak dapat menuruti permintaan tersebut kerana pemasangan lagu telah ditetapkan dan tidak boleh diubah.
Suspek yang berang telah memarahi dan mengeluarkan kata-kata kesat sebelum menampar pipi sebelah kiri mangsa.
Difahamkan, selepas kejadian rakan suspek telah membuat bayaran di kaunter lalu beredar dari situ.
Abd Khalid berkata, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.