
Reezal yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, adalah penting untuk menguatkan saf kepimpinan parti sebelum masuk ke gelanggang pilihan raya seperti yang ditekankan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya.
“Selalunya penilaian dibuat, apa yang memberi keuntungan kepada parti. Kalau dikatakan tempoh pilihan raya dengan tempoh pemilihan parti saling bersaingan, perlu didahulukan pilihan raya.
“Saya rasa semua kami di pihak menteri (Umno) mempunyai pemahaman yang sama (dahulukan PRU) dan sebab itu, saya rasa tak timbul (isu) itu sebenarnya,” katanya merujuk kepada dua kumpulan yang dikatakan berbeza pandangan mengenai masa sesuai untuk mengadakan pemilihan parti.
Terdahulu, dalam ucapan dasarnya, Zahid mendedahkan terdapat gerakan yang “membayar” akar umbi supaya mendesak pemilihan parti diadakan sebelum PRU15.
Dalam pada itu, Reezal berkata, Umno harus mengambil peluang ketika parti itu sedang mengetuai Jemaah Menteri selepas hilang kuasa pada pilihan raya umum pada 2018.
“Kali ini (kerajaan) diperintah oleh Perdana Menteri orang Umno. Beliau membawa perjalanan yang bagaimana parti kita bermula 2018 menjadi pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021.
“Tak masuk akal sebenarnya kerana kita pernah ditolak rakyat tapi akhirnya Tuhan mula buka laluan, lorongan … takdir kita masuk sebahagian dalam kerajaan (Perikatan Nasional) kerana runtuhnya Pakatan Harapan (PH) yang bukan dibuat oleh kita tetapi oleh hasil tangan mereka.
“Kita datang sebagai pelengkap, penstabil untuk mewujudkan kerajaan.”