Berisiko bubar Parlimen tanpa persetujuan parti lain dalam kerajaan, kata Annuar

Berisiko bubar Parlimen tanpa persetujuan parti lain dalam kerajaan, kata Annuar

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, kerajaan semasa adalah kerajaan pelbagai parti dan Umno hanyalah parti minoriti.

Annuar Musa berkata, tidak salah untuk berasa gembira dan kuat selepas menang PRN Melaka dan Johor, tetapi jangan melakukan sesuatu tindakan yang hanya akan memerangkap diri.
PETALING JAYA:
Kedudukan Barisan Nasional (BN) dan perdana menteri berdepan risiko, jika pembubaran Parlimen dibuat tanpa persetujuan parti lain dalam kerajaan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa.

Katanya, kerajaan semasa adalah kerajaan pelbagai parti dan Umno hanyalah parti minoriti.

Justeru, beliau mengingatkan Umno tidak mengambil mudah perkara itu, sebaliknya perlu mengadakan perbincangan lanjut dengan parti lain dalam kerajaan.

“Sekarang ini bukan macam dahulu. Sekarang ini, Umno adalah minoriti dalam kerajaan. Kita hanya satu kerajaan yang ada 41 kerusi daripada 116 kerusi.

“Katakanlah Umno nak bubar (Parlimen) dan tiba-tiba parti-parti lain dalam kerajaan kata tak nak, jadi kalau PM kata bubar, parti (lain) tak sokong, maka perdana menteri kena letak jawatan.

“Apabila dia letak jawatan, kerajaan yang ada berhak ambil (jawatan) perdana menteri baharu dan mungkin satu parti masuk mengisi kekosongan sebab kita hanya ada 42…itu pun kalau keluar semua, kalau ada parti lain masuk dan lebih 42, maka kerajaan tak boleh bubar juga.

“Ini semua nak kena hitung,” katanya menurut laporan Astro Awani.

Annuar turut menyarankan Umno melakukan “post-mortem” terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk mempercepatkan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ini kerana, jelas Ahli Parlimen Ketereh itu, Umno mungkin menang pada pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Melaka tanpa kekuatan parti seperti PAS.

“Namun, keadaan itu mungkin berbeza di negeri seperti Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perak.”

Katanya, tidak salah untuk berasa gembira dan kuat selepas menang di dua negeri itu, namun jangan melakukan sesuatu tindakan yang hanya akan memerangkap diri sendiri.

“Maka, pada saya, PRU15 memang perlu disegerakan, namun bukan cuba nak uar-uarkan, kecuali dengan niat uar-uar untuk memberi tekanan kepada perdana menteri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.