
“Perdana Menteri jawab, dia kata dia tidak pernah sekalipun sebut dia tak setuju untuk membubarkan Parlimen.
“Tetapi perkara ini (bubar Parlimen) hendaklah diputuskan di peringkat ‘top five’ (presiden, timbalan dan tiga naib presiden), itu ketetapan kita sebab itulah sebenarnya isu ini tak perlu timbul dalam konteks satu pihak nak bubar, satu pihak tak bubar,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Pemuda Umno 2021 hari ini.
Asyraf turut mengingatkan ahli supaya tidak memalukan Umno dan menjadikan pentas Perhimpunan Agung Umno (PAU) kali ini mewujudkan persengketaan dan perbezaan antara ahli kerana soal menentukan bila akan berlaku pilihan raya sebaiknya diserahkan kepada pimpinan parti.
Tegasnya, dalam mendepani pilihan raya, pucuk pimpinan Umno sudah mencapai kata sepakat untuk mengembalikan semula mandat rakyat.
“Kita nak berhadapan pilihan raya, semua setuju, semua sepakat cuma masa, kita hanya berbeza soal masa, tiada siapa pun tak setuju soal kena bubar, kena bagi balik mandat kepada rakyat tiada siapa pun yang bantah,” katanya.
Terdahulu, Ismail mengingatkan ahli dan pemimpin Umno supaya tidak melampaui batas sehingga dilihat mengambil alih kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam mendesak pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dipercepatkan.
Setakat ini katanya, isu menyegerakan PRU15 belum dibincang di peringkat parti dan tiada pihak yang menemuinya untuk membincangkan perkara itu.
“Kita tunggu. Apa-apa pun kita akan bincang. Mula-mula kita bincang dalam parti dulu.
“Parti pun tak bincang lagi. Kita ada mesyuarat parti, selepas itu barulah kita adakan perbincangan dan sebagainya,” katanya selepas majlis hi-tea dan ramah mesra Kelab Naib Ketua Bahagian Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.