Geng Sara curi tong sampah roro di KL tumpas

Geng Sara curi tong sampah roro di KL tumpas

Dua lelaki tempatan turut ditahan di Bandar Baru Sentul dan Kampung Laksamana, Batu Caves pada 11 Mac lalu.

Polis merampas lima tong sampah roro dianggarkan bernilai RM40,000 dan sebuah lori yang digunakan untuk menarik tong sampah roro itu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Geng Sara, pencuri tong sampah roro yang bergiat aktif di sekitar Sentul sejak setahun lalu, akhirnya tumpas selepas polis menahan dua lelaki tempatan di Bandar Baru Sentul dan Kampung Laksamana, Batu Caves, di sini, pada 11 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai, berkata pihaknya menerima laporan kehilangan tong sampah roro di Taman Kok Lian, di sini pada 19 Feb lepas.

Susulan daripada penahanan itu, polis merampas lima tong sampah roro dengan anggaran rampasan bernilai RM40,000 dan sebuah lori yang digunakan untuk menarik tong sampah roro terbabit.

“Modus operandi kumpulan itu adalah mencuri tong sampah roro di hadapan deretan kedai dan sekitar projek perumahan rakyat di daerah Sentul.

“Suspek akan mewarnakan semula tong sampah tersebut atau memadamkan nama syarikat tertera di permukaan tong sebelum disewakan kembali bagi mendapatkan hasil lumayan dengan anggaran sewaan sehari RM200 hingga RM400,” katanya dalam sidang media khas di Balai Polis Jinjang.

Beh berkata, semakan rekod mendapati dua suspek berumur 35 dan 40 tahun itu bekerja sebagai kontraktor serta pemandu lori mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Berikutan penahanan itu, polis menyelesaikan lima kes kecurian yang dilaporkan sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.