
“Farhash tidak akan merebut jawatan itu sekiranya Saifuddin bertanding. Beliau akan membantu kempen Saifuddin,” kata sumber itu, merujuk kepada Farhash Wafa Salvador, yang juga bekas pembantu kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, Farhash menjadi antara individu dalam PKR yang lantang mengkritik Rafizi, bekas Ahli Parlimen Pandan berhubung keputusan kembali aktif dalam politik dan mahu merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, dalam pemilihan parti itu, tahun ini.
Pada 2018, Rafizi mencabar Timbalan Presiden PKR ketika itu, Azmin Ali, namun tewas tipis. Setahun kemudian, beliau mengambil keputusan berundur daripada kancah politik, sambil menyatakan mahu memberi tumpuan terhadap projek baharunya.
“Saifuddin pasti akan memberi cabaran getir kepada Rafizi, perebutan itu akan menjadi sengit mengambil kira Saifuddin juga adalah orang kuat parti,” kata sumber itu.
“Beliau dilihat akan memberi lebih saingan kepada Rafizi berbanding Farhash”.
Jawatan timbalan presiden parti itu kosong selepas Azmin dipecat susulan “Langkah Sheraton” yang mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020.
PKR akan mengadakan pemilihan pada Mei ini.