
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din berkata, kelewatan itu antara lain disebabkan penggantungan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura bermula 23 Dis 2021 hingga 20 Jan lalu.
Sebelum ini, Singapura berkata, ia mencadangkan pasukan Malaysia menjalankan siasatan antara 8 dan 9 Feb lalu, tetapi polis Malaysia hanya memberi respons pada 10 Mac lalu untuk memohon ke republik itu pada pertengahan hingga hujung bulan ini.
Kamarudin berkata, pegawai penyiasat terbabit disahkan positif Covid-19 pada bulan lalu.
“Keadaan ini menyebabkan pegawai penyiasat tidak dapat memberi maklum balas berhubung tarikh pergerakan yang sesuai ke Singapura,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, katanya, maklum balas juga belum diterima daripada saksi yang merupakan warganegara Singapura mengenai kesediaan mereka ditemu bual pasukan penyiasat Malaysia.
Beliau berkata, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura bersetuju untuk pasukan penyiasat Malaysia ke republik itu pada 29 dan 30 Mac ini bagi mengumpul maklumat, termasuk keterangan berhubung kes itu.
“Polis ingin menyatakan apa jua kenyataan yang dibuat sebelum ini mengenai siasatan polis terhadap Tawfiq dan perjalanan pasukan penyiasat negara ke Singapura tidak bermaksud untuk menyembunyikan sebarang fakta atau mengelirukan mana-mana pihak.”
Pada 8 Mac lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Mas Ermieyati Samsudin memberitahu Parlimen, polis sepatutnya menyambung siasatan di Singapura, namun tidak dapat berbuat demikian susulan penutupan sempadan.
Polis Singapura dilaporkan memaklumkan BNM mengenai transaksi mencurigakan pada 2015 dan 2016 membabitkan sebuah syarikat milik suami Zeti dan salah seorang anak lelakinya.