Peguam Najib akan mohon perbicaraaan semula kes SRC International

Peguam Najib akan mohon perbicaraaan semula kes SRC International

Shafee Abdullah mendakwa berlaku konflik kepentingan membabitkan Hakim Nazlan Mohd Ghazali.

Shafee Abdullah berkata, hakim Nazlan Mohd Ghazali sepatutnya menarik diri daripada mendengar kes Najib Razak di Mahkamah Tinggi kerana dikatakan kemungkinan wujudnya konflik kepentingan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Peguam Najib Razak akan memohon bagi pihak bekas Perdana Menteri itu berhubung kes RM42 juta SRC International untuk dibicarakan semula jika berjaya mengemukakan potensi berlakunya konflik kepentingan membabitkan hakim perbicaraan.

Peguam Shafee Abdullah berkata, ia antara alternatif yang akan dipohon dalam permohonan pembelaan Najib.

Najib akan memfailkan permohonan untuk mengemukakan keterangan bahawa hakim perbicaraaan Nazlan Mohd Ghazali sebelum ini terbabit dalam meluluskan pinjaman lebih RM6 bilion daripada Maybank kepada 1MDB. Nazlan pernah menjadi ketua peguam bagi Maybank ketika itu sebelum dilantik sebagai hakim.

Pihak pembelaan akan memfailkan keterangan baharu dalam tempoh dua hari ini.

“Ada kemungkinan kesilapan dalam pensabitan, kami akan melihat sama ada mahkamah boleh membebaskan dan membatalkan semua pertuduhan,” katanya kepada pemberita.

SRC International adalah anak syarikat kepada 1MDB sehingga Februari 2012.

Semalam, Shafee berkata, Nazlan sepatutnya menarik diri daripada mendengar kes Najib di Mahkamah Tinggi kerana beliau mungkin boleh menjadi saksi dalam perbicaraan 1MDB.

Sebagai ketua peguam kepada Maybank beliau berkata, Nazlan “mungkin membentuk pandangan tertentu menentang 1MDB”.

Nazlan, yang dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan pada Julai 2020 mensabitkan Najib atas semua tujuh pertuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Keputusan Nazlan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada Disember lalu. Najib sedang merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.