Onn Hafiz hargai pengorbanan Hasni beri ruang pada orang muda

Onn Hafiz hargai pengorbanan Hasni beri ruang pada orang muda

Menteri Besar Johor yang baharu itu turut merakamkan penghargaan atas segala pengorbanan, komitmen, bantuan dan daya kepimpinan yang telah diberikan Hasni Mohammad bagi menstabilkan Johor.

Onn Hafiz Ghazi merakamkan penghargaan atas segala pengorbanan, komitmen, bantuan dan daya kepimpinan yang telah diberikan Hasni Mohammad bagi menstabilkan negeri Johor. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Johor yang baharu mengangkat sumpah, Onn Hafiz Ghazi menghargai sikap berjiwa besar Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Hasni Mohammad yang memberi ruang dan laluan kepada orang muda bagi memimpin Johor.

Menerusi kenyataan pertama selepas dilantik, Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan atas segala pengorbanan, komitmen, bantuan dan daya kepimpinan yang telah diberikan Hasni bagi menstabilkan Johor .

“InsyaAllah, saya akan sentiasa memohon khidmat nasihat daripada beliau yang jauh lebih berpengalaman daripada saya.

“Semoga gabungan orang yang berpengalaman dengan tenaga dan idealisme orang muda akan dapat membangun dan memperkukuhkan negeri ini agar terus disegani dan melangkah lebih jauh lagi,” katanya di Facebook sebentar tadi.

Isu pelantikan Menteri Besar baharu menjadi tumpuan selepas BN yang ditunjangi Umno meraih kemenangan majoriti lebih dua pertiga pada pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu.

Parti itu menampilkan Hasni sebagai calon Menteri Besar dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turut mengumumkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu akan dicalonkan kepada istana untuk jawatan berkenaan.

Sejak semalam timbul desas desus Onn Hafiz akan dilantik menjadi Menteri Besar.

Bagaimanapun persoalan tersebut terjawab apabila hari ini Onn Hafiz yang juga cicit kepada Pengasas dan Presiden Umno, Onn Jaafar, sah dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kira-kira jam 3 petang tadi. Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Majlis tersebut turut dihadiri Hasni.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Onn Hafiz turut berasa insaf dan kerdil dengan amanah dan kepercayaan yang diberikan Sultan Johor itu.

“Namun, tanggungjawab yang amat besar ini akan saya galas dengan sepenuh hati dan dedikasi, serta dengan sedaya upaya patik demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri dan Bangsa Johor,” katanya.

ADUN Machap turut memberikan jaminan bahawa BN akan menunaikan segala janji yang telah dibuat pada PRN minggu lalu.

“Kepada Bangsa Johor yang disayangi, InsyaAllah, segala janji yang dibuat oleh Barisan Nasional akan saya usaha untuk ditunaikan dengan sebaik mungkin.

Saya memohon semua Bangsa Johor tidak kira bangsa, agama dan latar belakang untuk bersama dengan saya – bersatu hati, minda dan tenaga untuk terus membangunkan negeri yang kita cintai ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.