
Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Azeez, ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya menerima e-mel daripada Mahkamah Rayuan pada 9 Mac lalu bagi memaklumkan tarikh keputusan rayuan itu.
Azeez, 55, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 12 Mac tahun lalu yang menolak permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram dihadapinya.
Hakim Muhammad Jamil Hussin ketika menolak permohonan itu berkata, mahkamah mendapati semua pertuduhan itu tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang.
Mahkamah Tinggi juga membenarkan permohonan Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling, untuk menangguhkan perbicaraan kesnya di Mahkamah Sesyen di sini sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Azeez menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di sini pada 8 Dis 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018, manakala kesalahan pengubahan wang haram dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.