
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman memberitahu FMT, aura dan kepimpinan Muhyiddin masih diperlukan rakan komponen PN dan “prestasi buruk” di Johor bukan berpunca daripada “kekurangan individu tertentu”.
“Bagi saya, PN masih memerlukan kepimpinan Muhyiddin kerana apa yang terjadi dalam PRN Johor bukanlah akibat kekurangan individu tertentu, tetapi lebih kepada beberapa faktor lain, seperti jumlah keluar mengundi tidak lebih 50% dan undi blok anti-BN yang berpecah akibat tiada kesepakatan.”
BN memenangi 40 daripada 56 kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor, manakala PN hanya mampu menawan tiga kerusi, iaitu Maharani (PAS), Endau dan Bukit Kepong (Bersatu).
Dalam sidang media selepas PRN Johor malam tadi, Muhyiddin berkata, beliau sedia melepaskan jawatan mengetuai gabungan itu sebagai mengambil tanggungjawab atas kekalahan PN.
“Kalau nak tukar, saya terima. Kita amalkan sistem progresif. (Jawatan Pengerusi PN) Bukan hak saya, (tapi) keputusan parti atau kepimpinan parti komponen PN.
“Kalau mereka kata saya tak payah pegang apa-apa jawatan, Pengerusi ke apa – (saya) serah pada parti. Kalau menang saya bertanggungjawab, kalah pun saya bertanggungjawab,” kata Muhyiddin.
Faiz berkata, parti pembangkang perlu bersatu membentuk gagasan baharu dengan merancang strategi di luar kotak, sekiranya mahu menumbangkan BN pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Saya bersetuju dan menyokong penuh jika ada cadangan agar PN membuat gabungan/kerjasama dengan parti pembangkang lain bagi menghadapi BN dalam PRU15.
“Parti-parti di negara ini baik kembali kepada satu asas perjuangan bersama yang wajar dijadikan sandaran untuk cari persamaan, iaitu Rukun Negara, baru boleh bersatu.
“Masih ada cahaya jika kita muhasabah dan rancang strategi luar kotak. Tapi objektif perlu lurus, kesepakatan wajar jujur. Catur watak yang sepatutnya.”