
Beliau berkata, Amerika Syarikat (AS) adalah pelabur kedua terbesar di negara ini dan beliau menerima banyak maklum balas positif mengenai pengumuman Putrajaya baru-baru ini bahawa sempadan akan dibuka semula mulai 1 April.
“Kami banyak meluangkan masa bercakap dengan syarikat Amerika yang melabur di Malaysia. Mereka semua tidak sabar-sabar menunggu sempadan dibuka semula.
“Ini kerana kebanyakan syarikat Amerika menghantar rakyat Malaysia ke AS untuk menjalani latihan tetapi perkara ini tidak dapat dilakukan ketika ini. Jadi ini mungkin boleh dilakukan sekarang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, pegawai dan diplomat kerajaan AS juga berminat untuk melawat Malaysia.
Sempadan Malaysia ditutup sejak penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020.
Sementara itu, McFeeters berkata, AS mahu memperbaharui program pembantu pengajar Bahasa Inggeris (ETA) Fulbright dengan Malaysia yang digantung sejak pelaksanaan PKP pada 2020.
Katanya, kedutaan berbangga dengan program itu, yang menempatkan graduan kolej AS sebagai pembantu pengajar bahasa Inggeris di sekolah di luar negara, termasuk Malaysia.
“Saya fikir ia bagus untuk pelajar Malaysia kerana mampu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan mempelajari lebih lanjut tentang nilai bersama Amerika. Tetapi ia juga sangat bagus untuk rakyat Amerika kerana mereka benar-benar mengenali Malaysia.
“Kami berharap dapat memperbaharui perkongsian ini yang sebahagiannya ditangguhkan kerana wabak Covid-19 dan juga bersangkut paut dengan Putrajaya.
“Jika kita boleh mendapatkan kelulusan kerajaan persekutuan, maka kita akan bekerjasama dengan negeri seperti Sabah, supaya sukarelawan boleh datang ke sini,” kata McFeeters.
Bekas Duta Besar AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir sebelum ini berkata, Washington dan Kuala Lumpur sedang berusaha untuk menyambung semula program itu pada Januari 2021 tetapi kes Covid-19 kekal tinggi dan sekolah ditutup.
Selain Sabah, hampir 1,000 ETA Amerika mengajar di 10 negeri termasuk Terengganu, Johor, Pahang, Kelantan dan Perlis sejak 2006.