KKM nafi terbitkan infografik membabitkan dos keempat

KKM nafi terbitkan infografik membabitkan dos keempat

Infografik tersebut adalah palsu dan meminta orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penyebaran itu.

Kementerian Kesihatan dalam hantaran di Facebook hari ini meminta orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penyebaran berita palsu itu.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan pihaknya menerbitkan infografik berkaitan pengambilan vaksin dos keempat seperti mana tular di media sosial.

Dalam hantaran di Facebook hari ini , KKM menjelaskan infografik tersebut adalah palsu dan meminta orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penyebaran itu.

“Bagi memastikan fasa peralihan ke endemik yang bermula pada 1 April depan dan dilaksanakan dengan selamat, fokus paling utama adalah memupuk kesedaran komuniti ataupun solidariti komuniti serta tanggungjawab individu terhadap pematuhan SOP dan meluaskan capaian program vaksinasi sedia ada.

“Bagaimanapun, seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan pada 24 Feb lalu, penerima vaksin lengkap jenis Sinovac berumur 18 tahun ke atas dan warga emas berumur 60 tahun ke atas yang telah menerima vaksin lengkap semua jenis perlu mendapatkan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap mereka,” kata KKM.

Kata KKM lagi, tempoh masa yang ditetapkan telah dilanjutkan sehingga 31 Mac ini dan bermula 1 Apr 2022, status vaksinasi lengkap akan ditukar kepada tidak lengkap sekiranya masih belum mendapat dos penggalak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.