4 ditahan bantu siasatan kehilangan kanak-kanak lelaki

4 ditahan bantu siasatan kehilangan kanak-kanak lelaki

Mereka ditahan terdiri dua lelaki dan dua wanita termasuk penjaga kanak-kanak terbabit.

Eric Chang Wei Jie dilaporkan hilang dari sebuah rumah di kawasan perumahan Jalan Daya, Bintawa, dekat Kuching pada jam 7.42 malam, 7 Mac lalu.
PETALING JAYA:
Polis menahan empat suspek bagi membantu siasatan kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, Eric Chang Wei Jie, sejak Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching Ahsmon Bajah berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita masing-masing berusia 24 hingga 49 tahun termasuk seorangnya adalah penjaga kanak-kanak terbabit.

Beliau berkata, mereka ditahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berhubung kecuaian dan pengabaian terhadap penjagaan kanak-kanak.

“Hasil semakan rekod mendapati kesemua suspek mempunyai 17 rekod jenayah, iaitu 14 kesalahan dadah, dua jenayah harta benda dan satu jenayah komersial.

“Hasil saringan air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis syabu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Eric dilaporkan hilang dari sebuah rumah di kawasan perumahan Jalan Daya, Bintawa, di sini, pada jam 7.42 malam, 7 Mac lalu.

Kanak-kanak terbabit dianggarkan setinggi 100 sentimeter, bertubuh kurus, berkulit kuning langsat, rambut pendek dan pakaian terakhir sebelum hilang ialah baju-T berwarna biru gelap dan seluar pendek paras lutut berwarna hitam.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan dengan bantuan penduduk setempat dan Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM.

Ahsmon berkata, polis juga menubuhkan satu pasukan khas bagi memperluaskan usaha pencarian kanak-kanak terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa boleh menghubungi Inspektor Hasmah Abdul Jalil menerusi talian 013-6852210 atau IPD Kuching (082-244444),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.