Seorang maut, 4 parah kemalangan di Pekan

Seorang maut, 4 parah kemalangan di Pekan

Mangsa yang juga pemandu Perodua Axia Khairul Anuar Khairi dari Kampung Darat Sungai Ular, Kuantan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa tersepit dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Kuantan-Segamat, di Pekan semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki maut, manakala empat lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kilometer 65 Jalan Kuantan-Segamat di Paloh Hinai, Pekan, semalam.

Dalam kejadian pada 7.15 petang itu, mangsa yang juga pemandu kereta Perodua Axia, Khairul Anuar Khairi, 43, dari Kampung Darat Sungai Ular, Kuantan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi penumpang Rohani Tamby, 55, mengalami kecederaan patah tangan.

Ketua Polis Daerah Pekan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, pemandu sebuah lagi kereta jenis Proton Persona, Isma Danish Mohd Zamani, 20, dan dua penumpangnya, Dewi Murni Abu Zamar, 44, dan Isma Ammar Basyir Mohd Zamani, tujuh tahun, cedera parah.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta Proton Persona bersama penumpangnya dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Segamat.

“Setibanya di lokasi kejadian, kereta itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dipandu mangsa yang berada di laluan arah ke Kuantan.

“Akibat kemalangan tersebut, kedua kenderaan remuk pada bahagian hadapan menyebabkan ada mangsa tersepit. Mereka berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Mohd Zaidi berkata, mayat Khairul Anuar dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat, manakala mangsa parah turut dihantar di hospital yang sama bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.