Tetapkan SOP buka semula sempadan segera, gesa Hasni

Tetapkan SOP buka semula sempadan segera, gesa Hasni

Ia susulan pengumuman Putrajaya berhubung pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April ini.

Hasni Mohammad akan berbincang dengan Putrajaya secepat mungkin bagi memastikan kelancaran perjalanan ulang alik harian menerusi laluan darat Johor dan Singapura.
PONTIAN:
Menteri Besar sementara Johor, Hasni Mohammad menggesa SOP perjalanan ulang alik harian ke Singapura diperincikan secepat mungkin susulan pengumuman pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April.

Hasni yang juga calon Menteri Besar bagi Barisan Nasional untuk pilihan raya negeri Johor, menyambut baik pengumuman Putrajaya kerana langkah itu mampu meningkatkan sektor ekonomi seperti pelancongan yang antara paling teruk terjejas akibat pandemik.

Katanya, beliau akan membincangkan perkara itu dengan Putrajaya secepat mungkin bagi memastikan kelancaran perjalanan ulang alik harian menerusi laluan darat Johor dan Singapura.

“Jadi, kerajaan negeri akan terus menekankan usaha supaya kerajaan pusat segera memuktamadkan SOP untuk mereka yang hendak berulang alik ini,” katanya ketika melawat Benut hari ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Benut itu huga berharap Singapura akan berusaha ke arah pembukaan semula sempadannya untuk memudahkan orang Johor yang bekerja di sana, berulang alik ke republik itu.

BN dalam manifestonya untuk PRN Johor berikrar akan terus menggesa sempadan Singapura dibuka semula sepenuhnya atau secara berperingkat mengikut keutamaan sektor, termasuk pembinaan dan perkhidmatan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan rakyat Malaysia dengan dokumen perjalanan sah boleh memasuki atau meninggalkan negara seperti mereka lakukan sebelum pandemik.

Dalam perkembangan lain, Hasni berkata, beliau mahu menumpukan kemenangan untuk BN terlebih dahulu, sebelum membincangkan jawatan Menteri Besar dan Exco.

Katanya, Sultan Johor yang akan mempunyai kata putus berhubung individu yang bakal menerajui negeri itu.

Beliau berkata demikian susulan dakwaan Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan bahawa Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi sedang melobi jawatan Menteri Besar Johor.

Bagaimanapun, Puad hari ini dilapor menafikan beliau giat melobi jawatan Menteri Besar Johor dan beliau akan menolak tawaran jawatan Exco juga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.