
Ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen DAP itu berkata, terowong itu dikatakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai penyelesaian masalah banjir kilat di Kuala Lumpur, selepas ia siap sepenuhnya pada 2007.
“Apa yang berlaku semalam dan pada Disember menunjukkan Terowong SMART adalah projek gagal,” katanya.
Lim juga mendesak kerajaan menubuhkan pasukan khas bagi menyediakan penyelesaian holistik dalam menangani banjir yang kerap berlaku di ibu negara.
Pasukan itu yang dicadangkannya perlu dianggotai pegawai kanan dari kementerian berkaitan dan diketuai pakar banjir terkemuka antarabangsa.
Beberapa bahagian di Kuala Lumpur dan Selangor dilanda banjir kilat semalam susulan hujan lebat pada sebelah petang. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Banjir kilat itu berlaku kurang tiga bulan selepas banjir besar yang melanda Lembah Klang dan beberapa bahagian lain di negara ini Disember lalu.
Lim berkata, Kuala Lumpur dilanda banjir 48 kali antara Oktober 2015 hingga September 2020, merujuk “laporan berita” tanpa mengemukakan sumbernya.
“Ini menunjukkan banjir secara puratanya berlaku 10 kali setahun. Inikah ciri bandar bertaraf dunia?
“Kita mempunyai Menara 118 yang menjadi bangunan kedua tertinggi dunia, tetapi longkang di sekelilingnya tersumbat dengan sampah dan jalan sekitarnya dilanda banjir setiap kali hujan lebat.
“Tiada ahli perniagaan asing yang mahu melabur di negara kita, jika banjir berlaku 10 kali setahun,” katanya.