Video dengan dakwaan kabur tak buktikan apa-apa, kata Lip Eng

Video dengan dakwaan kabur tak buktikan apa-apa, kata Lip Eng

Ahli Parlimen DAP itu berkata dakwaan dalam video itu tidak berasas yang disamarkan sebagai ‘pendedahan’.

Lim Lip Eng
Ahli Parlimen Lim Lip Eng mempersoalkan ketulenan dakwaan dalam video yang dirakam oleh ahli perniagaan kontroversi Albert Tei.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen DAP menolak dakwaan video tular mengaitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan rakaman sulit melibatkan ahli politik Sabah dalam skandal perlombongan di negeri itu.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, mempersoalkan ketulenan dakwaan dalam video yang dirakam oleh ahli perniagaan kontroversi Albert Tei, sambil berkata tuduhan itu kabur dan tidak mengemukakan sebarang bukti.

“Adalah tidak bertanggungjawab dan tidak jujur bagi sesiapa untuk menggunakan klip yang diubah suai seperti ini untuk menyerang perdana menteri. Jika si penuduh benar-benar ada fakta, mereka sepatutnya mengemukakan bukti sebenar dan tampil secara terbuka. Bersembunyi di sebalik sesuatu yang diputar belit dan dan identiti rahsia sudah cukup menunjukkan kredibiliti mereka.

“Perdana menteri tidak boleh dinilai berdasarkan bayang-bayang dan khabar angin yang dicipta untuk drama tular. Beliau hanya boleh dinilai berdasarkan fakta yang disahkan, bukan video yang tidak memenuhi standard bukti paling asas di mana-mana pun.

“Malaysia berhak mendapat sesuatu yang lebih baik daripada dakwaan tidak berasas yang disamarkan sebagai ‘pendedahan’,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menggesa rakyat Malaysia agar tidak terpedaya dengan video yang dirakam Tei, yang sedang dibicarakan atas dua pertuduhan memberi rasuah, sambil menyifatkannya sebagai gimik politik murahan.

Klip video itu menunjukkan seorang wanita yang mendakwa dirinya sebagai proksi kepada Shamsul Iskandar Akin, yang semalam meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik kanan perdana menteri.

Wanita itu mendakwa perdana menteri memberi lampu hijau kepada Tei untuk merakam perbualannya dengan beberapa ahli politik Sabah, termasuk menteri negeri dan Adun, berhubung lesen penerokaan mineral di negeri Borneo itu.

Tei turut mendakwa bahawa beliau membelanjakan RM629,000 untuk Shamsul, termasuk kerja ubah suai ke atas beberapa hartanah yang dikaitkan dengan pemimpin PKR itu, selain cerut premium dan sut khas, menurut Malaysiakini.

Dakwaan itu mencetuskan desakan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan siasatan terhadap ketua PKR Melaka itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.