
Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan tiga perkara asas, iaitu panduan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.
Beliau berkata, pembukaan semula sempadan negara mampu meningkatkan ekonomi dan industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik.
“Dengan pembukaan semula sempadan negara ini, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan pergi ke mana-mana negara yang turut membuka sempadannya kepada pengembara luar,” katanya dalam sidang media khas.
Ismail berkata, MyTravelPass akan dimansuhkan dan rakyat hanya perlu memuat turun, mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan borang prapelepasan melalui fungsi “Traveller” dalam MySejahtera.
Mengambil kira penularan varian Omicron, katanya, rakyat dan pengembara asing sudah lengkap divaksin yang ingin memasuki Malaysia tidak perlu menjalani kuarantin.
“Mereka hanya perlu menjalani ujian RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta ujian RTK-Ag dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.”
Bagi negara yang masih menutup pintu sempadannya, beliau berkata, rakyat boleh memanfaatkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) yang dipersetuji Malaysia dengan negara terbabit.