PRN Johor: Usul diskaun cukai pintu hingga 20% antara janji PBM

PRN Johor: Usul diskaun cukai pintu hingga 20% antara janji PBM

PBM juga berjanji akan membantu penjaja dan peniaga kecil mengusulkan pengecualian bayaran lesen perniagaan dilanjutkan untuk dua tahun.

PBM mengetengahkan tujuh usul untuk memulihkan ekonomi Johor dalam manifestonya yang dilancarkan hari ini. Turut hadir Naib Presiden Kanannya, Steven Choong Shiau Yoon (tengah). (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Parti Bangsa Malaysia (PBM) bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang bakal menubuhkan kerajaan Johor baharu selepas pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini.

Naib Presiden Kanan PBM, Steven Choong Shiau Yoon yakin kerajaan Johor bakal kembali kepada keadaan sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu terdiri daripada beberapa parti yang membentuk kerajaan bersama.

“Tidak tahu kerajaan baharu yang akan ditubuhkan daripada parti mana, tetapi jikalau kami ada wakil untuk menyumbang kepada pembangunan negeri, wakil itu akan ambil bahagian dalam kerajaan dan menyumbang secara positif.

“Buat masa ini, tiada keputusan untuk sertai mana-mana parti, kami tunggu keputusan pilihan raya. Siapa akan tubuh kerajaan, kami akan buat perjumpaan untuk menyampaikan hasrat bekerjasama,” katanya sewaktu pelancaran Manifesto PBM bagi PRN Johor.

Parti yang bertanding di DUN Maharani, Tiram, Puteri Wangsa dan Stulang itu mengetengahkan tujuh usul untuk memulihkan ekonomi Johor dalam manifestonya.

Dalam membantu rakyat Johor menghadapi kos sara hidup semakin tinggi, Choong berkata, PBM akan mengusulkan cukai pintu perumahan dikurangkan sebanyak 20% dan 10% bagi premis komersial selama dua tahun.

Selain itu, PBM dalam usaha membantu penjaja dan peniaga kecil akan mengusulkan pengecualian bayaran lesen perniagaan dilanjutkan untuk dua tahun.

PBM dalam manifestonya juga berjanji akan memulihkan ekonomi Johor dengan beberapa inisiatif berteraskan pelaburan dan lebih tertumpu usaha menarik pelabur luar negara.

Antaranya, mewujudkan polisi kelulusan pelaburan secara pantas, mengeluarkan kad Imigrasi Elektronik dan Kad APEC bagi memudahkan kemasukan pelabur asing, di samping memberikan kemudahan visa ketibaan kepada pelabur China.

PBM juga mencadangkan polisi Johor Rumah Keduaku untuk menyelesaikan masalah lambakan rumah mewah tidak terjual serta membawa usul pekebun persendirian dan koperasi dibenarkan menjalankan aktiviti pertanian di tanah negeri yang tidak digunakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.