
Dalam hantaran di Facebook, TNB memaklumkan memaklumkan antara kawasan dan bangunan terjejas adalah di sekitar Bukit Aman, Bukit Bintang, Jalan Kebun Bunga, Hospital Tang Lin, Pangsapuri Sri Jati serta beberapa hotel terkemuka.
“Usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat bergantung kepada akses dan keadaan setempat,” kata hantaran itu.
TNB menjelaskan, penutupan bekalan elektrik akan dilakukan di pencawang yang terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna setempat sekiranya situasi banjir semakin buruk, berisiko serta membahayakan pengguna.
Dalam hantaran berlainan, TNB meminta orang ramai menghubungi talian 15454 jika melihat tiang elektrik tumbang atau wayar putus.
“Berhati-hati dengan persekitaran anda dan jaga keselamatan ketika berada di dalam kenderaan semasa banjir,” kata hantaran itu.
Sementara itu, laman web InfoBanjir memaklumkan paraas air sungai di tiga negeri iaitu Kedah, Selangor dan Johor kini telah melepasi paras bahaya.
Paras air Sungai Anak Bukit di Kota Setar, Kedah, menunjukkan bacaan 2.13m, melebihi paras normal 1.70m.
Di Selangor, Sungai Kuang di Gombak, Sungai Klang di Petaling, dan Sungai Langat di Sepang telah melepasi paras bahaya, masing-masing menunjukkan bacaan 24.44m, 12.93m dan 12.98m.
Di Johor, Sungai Skudai di Johor Bahru melepasi paras bahaya 3m, menunjukkan bacaan 3.08m.
Jabatan kaji cuaca sebelum ini mengeluarkan amaran ribut petir di Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah.
Ia juga meramalkan cuaca buruk sehingga 13 Mac, dengan ribut petir dijangka berlaku di beberapa kawasan di bahagian barat semenanjung, serta Sabah dan Sarawak.