
Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri selepas menerajui kerajaan PN susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020.
Najib, yang juga bekas Perdana Menteri, menyerang Muhyiddin di Dewan Rakyat minggu lalu dengan berkata, beliau membelanjakan lebih RM600 bilion tanpa melaksanakan langkah penggantian dalam kantung kerajaan dan meninggalkan kewangan negara dalam keadaan tenat.
Berucap di Dewan Rakyat hari ini, Muhyiddin (Bersatu-Pagoh) berkata, pentadbirannya membelanjakan wang membabitkan vaksin, melaksanakan pendekatan kawalan Covid-19 dan pakej rangsangan yang memberi kesan berganda.
“Saya sebenarnya hairan dengan sikap YB Pekan, apabila saya menjadi Perdana Menteri menyalurkan bantuan bernilai ratusan bilion ringgit kepada rakyat dan perniagaan dikatakan susah, dikatakan membazir.
“Tetapi ketika dia menjadi Perdana Menteri, YB Pekan puluhan bilion duit rakyat lesap begitu saja dan tidak pula dikatakan membazir,” katanya.
Pentadbiran PN dipimpin Muhyiddin mengagihkan RM530 bilion menerusi pelbagai pakej ekonomi bertujuan membantu rakyat menyerap kesan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan membantu memulihkan semula perniagaan.
Sambil menyatakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 meningkat 4%, Muhyiddin berkata, pakej rangsangan menjadi pemangkin ekonomi.
Menyifatkan dakwaan Najib bahawa beliau membazir menerusi pakej rangsangan sebagai “tidak bertanggungjawab”, Muhyiddin berkata, tuduhan Ahli Parlimen Pekan itu amat tidak sensitif terhadap kesusahan yang dihadapi rakyat dan komuniti perniagaan.
“Kami (PN) mahu perniagaan kembali berjalan, gaji dan upah pekerja tidak terhenti dan makanan ada di atas meja untuk keluarga terjejas,” tegas Muhyiddin.
“Peruntukan tersebut tidak masuk dalam akaun peribadi saya, tetapi untuk kepentingan rakyat yang benar-benar terkesan akibat pandemik ini.”