
Choong, calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) di Puteri Wangsa berkata, beliau sebenarnya mengharapkan mendapat akses kepada golongan menteri, dan bukannya untuk mendapat jawatan dalam kerajaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tebrau sebelum ini pernah menjadi ahli PKR. Susulan kejatuhan Pakatan Harapan pada Mac 2020, beliau menghadapi kesukaran mendapatkan janji temu bersama menteri sebagai “backbencher” pembangkang.
“Saya bukannya meminta jawatan khas atau untuk menjadi menteri. Saya mahukan akses kepada menteri,” katanya kepada FMT.
Tambahnya, beliau mahu membantu membina semula ekonomi, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan memimpin pasukan petugas khas bagi sektor itu.
“Itu saja yang saya minta. Saya tidak minta jawatan. Saya cuma mahukan akses kepada menteri dan kaedah untuk membantu PKS,” katanya.
Choong berkata, akses kepada menteri amat penting baginya dalam berkhidmat untuk rakyat, namun beliau kecewa dan sedih kerana tidak dapat membantu rakyat Tebrau susulan kejatuhan PH.
“Saya tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan kepada mereka kenapa saya tidak dapat membantu mereka,” katanya.
Selepas mengumumkan sokongan untuk kerajaan Muhyiddin pada Feb tahun lalu, Choong dilaporkan berkata Presiden Bersatu itu telah menjanjikannya jawatan rasmi yang akan memberikan platform kepadanya untuk membina semula ekonomi, mengatakan beliau akan meminta semua kementerian membincangkan isu secara bersama.
“Saya tidak mahu jadi menteri, saya juga tidak mahu jadi timbalan menteri, saya juga tidak mahu menguruskan GLC (syarikat berkaitan kerajaan). Saya hanya mahu menyelesaikan masalah (akibat Covid-19),” beliau dipetik berkata.
Pemimpin DAP Lim Guan Eng antara yang menggesa supaya Muhyiddin disiasat kerana rasuah kerana dikatakan menawarkan “jawatan rasmi” kepada Choong.
Choong menghadapi perlawanan enam penjuru di Puteri Wangsa, bersama calon Barisan Nasional Ng Yew Aik, Loh Kah Yong (PN), Amira Aisya Abd Aziz (MUDA), Khairul Anwar Razali (Pejuang) dan calon bebas, Adzrin Adam.
Menurutnya isu utama yang perlu diselesaikan di Puteri Wangsa adalah kekurangan perumahan mampu milik bagi kumpulan B40, selain pencemaran sungai seperti yang berlaku di Sungai Tebrau.
“Jika saya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (di Puteri Wangsa), saya akan memiliki kapasiti untuk mendekati kerajaan negeri bagi memberi penyelesaian bagi isu berkenaan.”