
Sering dilihat sebagai penyokong pembangkang di kebanyakan kawasan bandar, pengundi Cina umumnya kini bergelut dengan realiti ketika negara dilanda pandemik Covid-19; seterusnya perlu menilai semula kecenderungan mereka pada PRN kali ini.
Johor menyaksikan pertembungan antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), dan Perikatan Nasional (PN), serta serpihan masing-masing seperti MUDA, Pejuang, dan PBM, dan jaguh dari Sabah, Warisan.
Tinjauan mendapati rata-rata pengundi Cina sudah membuat keputusan mengenai parti pilihan. Di beberapa kawasan, pengundi Cina menunjukkan kecenderungan ke arah BN namun sejauh mana ini dapat diterjemah di kertas undi tidak dapat dipastikan.

Na Hui Seong, 50, mengakui kali ini mahu kembali menyokong BN selepas kecewa dengan prestasi PH mentadbir negara apabila janji-janji manifesto gagal ditunaikan, seperti menghapuskan tol.
Beliau yang mengundi di DUN Skudai juga kecewa dengan perkhidmatan wakil rakyatnya yang didakwa jarang turun padang menangani aduan penduduk. Katanya, walaupun banyak bendera PH terpacak di kawasan majoriti Cina, pengundi sudah bosan kerana “mereka cakap pandai tapi tak buat kerja”.
Turut menarik perhatian beliau adalah langkah PKR memilih untuk tidak bertanding dengan lambang PH.
Sementara itu, An Bin Lin, 38, yang mengundi di DUN Perling tidak teruja melihat nama besar DAP, Liew Chin Tong, yang juga pengerusi parti itu.
“Kalau dia menang adakah dia akan selalu ada di Perling? Dia bukan penduduk tempatan sini. Macam Lim Kit Siang menang di Iskandar Puteri – dia menang tak buat apa, asyik ada di Pulau Pinang. Lima tahun lebih berapa banyak gaji dia sebagai wakil rakyat? Kalau sebulan dapat RM20,000 setahun berapa?” soalnya.
Yap Seng, 48, pula akan tetap menyokong PH, kerana baginya gabungan itu telah membawa perubahan di Johor, seperti Kad Sihat Johor.
“Kalau mereka diberi peluang lama lagi memerintah mungkin banyak lagi boleh bantu rakyat Johor. Ini lepas 22 bulan kerajaan jatuh jadi perancangan mereka terbantut,” katanya.
Chong Fat, 49, mengakui beliau sekeluarga belum membuat keputusan kerana kecewa dengan prestasi pilihan pilihan sebelum ini.
Felo penyelidikan kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Azmi Hassan tidak menolak angin perubahan melanda pengundi Cina di Johor, seperti di Melaka yang menyaksikan BN menang di beberapa kerusi milik DAP.
Katanya, walaupun nampak sukar bagi BN menembusi kubu DAP seperti di Perling dan Skudai, itu bukan mustahil sekiranya 100% pengundi tegar gabungan itu keluar mengundi di samping lebih 20% pengundi Cina tidak menyokong PH.