
Namun beliau mahu berhati-hati dan tidak ambil mudah sentimen semasa pengundi Cina itu.
“Saya rasa ‘trend’ begitu tetapi bagi sayalah, saya lebih berhati-hati. Saya tidak anggap itu berlaku semula jadi, yang penting kena ikhtiar,” katanya ketika ditemui FMT di pusat khidmatnya di Yong Peng.
Ditanya apakah pengundi Cina sudah kembali kepada MCA atau menunjukkan protes terhadap Pakatan Harapan, Wee berkata MCA perlu memikirkan bagaimana boleh ia menarik lebih banyak undi.
“Mungkin dia tak suka PH, tetapi apakah ia akan diterjemahkan dalam bentuk undi? Itu satu persoalan yang kita kena tanya,” katanya.
Wee berkata MCA perlukan percaturan yang lebih menyeluruh dan holistik, dengan apa yang ia mahu tawarkan kepada masyarakat Cina sebagai daya penarik.
Beliau menjelaskan antara sebab masyarakat Cina hampa dengan PH kerana gabungan itu dilihat hanya pandai menabur janji tetapi tidak ditunaikan selepas memenangi PRU14.
Antaranya termasuk untuk memansuhkan tol dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), serta apa yang dikatakan projek “kereta terbang”.
“Tetapi bila ada kuasa…mereka tidak dapat berbuat demikian dan orang lihat ini cakap tak serupa bikin,” katanya.
Wee juga menolak dakwaan MCA hanya bergantung kepada sokongan orang Melayu, berdasarkan kepada demografi pengundi Ayer Hitam dan Tanjung Piai yang majoritinya Melayu.
Beliau berkata pada PRN kali ini MCA akan berdepan DAP di 14 kerusi, dan MUDA di satu kerusi.
“Sudah tentu kerusi itu mempunyai jumlah pengundi Cina yang signifikan. Inilah masanya kita mendoakan supaya banyak sokongan pelbagai kaum termasuk juga masyarakat Cina,” katanya.
MCA mempertaruhkan 15 calon. Pada 24 Feb lalu, Wee berkata sembilan daripadanya muka baharu dan purata calon MCA berusia 43 tahun.
Pada PRU14, MCA tewas semua 15 kerusi DUN yang ditandingi.