
Kejadian tular di media sosial itu dipercayai berlaku pada 10.50 pagi apabila seorang lelaki yang memegang objek seperti kayu berada di atas kenderaan berkenaan sambil menjerit.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.07 pagi berhubung kejadian.
“Sepasukan 12 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar ke lokasi terbabit dan apabila sampai pada 11.11 pagi, didapati seorang lelaki berumur 30-an berada di atas kontena dalam keadaan tidak siuman.
“Bomba meletakkan jentera bagi memudahkan polis menangkap lelaki tidak siuman itu.
“Operasi mengambil masa kira-kira 20 minit kerana pemuda itu agak agresif dan memegang objek di tangannya,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, S Vijaya Rao ketika mengesahkan menerima laporan kejadian pada 10.58 pagi.
“Polis menerima maklumat mengatakan ada orang tidak siuman berada di atas sebuah lori kontena.
“Polis ke lokasi sebelum menangkap lelaki itu dengan bantuan bomba dan dia dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk menerima rawatan,” katanya.