Tiada lagi alasan projek lewat kerana Covid-19, Hajiji beri amaran

Tiada lagi alasan projek lewat kerana Covid-19, Hajiji beri amaran

Ketua Menteri Sabah itu berkata, semua ketua jabatan negeri dan persekutuan perlu memastikan semua projek yang mendapat kelulusan bajet dilaksanakan segera.

Hajiji Noor mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sabah hari ini.
KOTA KINABALU:
Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor memberi amaran supaya tidak menjadikan penularan wabak Covid-19 sebagai alasan atas kelewatan melaksanakan sesuatu projek di negeri itu.

Beliau mengarahkan semua ketua jabatan negeri dan persekutuan memastikan semua projek yang mendapat kelulusan bajet untuk “Rolling Plan 2” Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), dilaksanakan segera bagi membolehkan rakyat menerima manfaat.

“Kelewatan dalam melaksanakan projek yang diluluskan akan merugikan rakyat dan kerajaan serta menafikan hak rakyat atas manfaat yang sepatutnya mereka terima, selain meningkatkan lagi kos pelaksanaan.

“Semua projek hendaklah dilaksanakan segera, khususnya projek berbentuk ‘touch points’. Semua agensi hendaklah cuba ‘facilitate’ semua pelaksanaan projek yang telah diluluskan, bukan sebaliknya.”

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sabah di Menara Kinabalu, hari ini.

Hajiji berkata, aktiviti ekonomi perlu terus bergerak dan program atau projek pembangunan perlu dirancakkan, selain sistem pendidikan perlu terus dilaksanakan.

“Kita perlu gandakan pemanduan, gariskan pelan tindakan yang mantap, rencanakan strategi yang ampuh, selusuri carta perbatuan munasabah yang memberi impak tinggi, bukan sahaja kepada organisasi, tetapi kepada rakyat yang memerlukan.”

Beliau berkata, ada beberapa penambahbaikan dalam strategi utama dan struktur, antaranya penubuhan semula Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri Sabah yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Selain itu, jawatankuasa bagi Focus Group Kesejahteraan Rakyat Peringkat Negeri juga dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Focus Group Kesejahteraan Rakyat Peringkat Daerah yang dipengerusikan pegawai daerah.

“Sekiranya terdapat masalah atau isu dalam pelaksanaan program atau projek pembangunan yang tidak dapat diselesaikan di peringkat daerah, maka ia hendaklah dikemukakan ke peringkat seterusnya.”

Terdahulu, Hajiji mengumumkan pelantikan Peguam Besar Sabah, Nor Asiah Mohd Yusof sebagai ahli baharu Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.